19 Jun 2013
Apa yang tersirat disebalik konflik di Syria
10 Syaaban 1434 H. [MOD] -- Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
Syria menghadapi arus perubahan musim bunga politik yang sedang berlaku
di dunia Arab secara khusus. Tidak boleh dinafikan sedikitpun,
kebangkitan yang menggolakkan arus perubahan itu disebabkan oleh tempoh
pemerintahan yang lama tanpa kebebasan rakyat.
Pemerintahannya bersifat diktator bertopeng demokrasi, yang menekan
rakyat dengan lesen yang diberi oleh kuasa-kuasa besar dunia diatas nama
rakan strategik bagi keselamatan Israel yang dilindungi dengan cara
paling istemewa, akhirnya tidak mampu membatalkan musim yang bertiup.
Syria mempunyai kedudukan yang agak berbeza dengan negara Arab yang
lain, kerana tidak mengiktiraf Israel dan tidak mengadakan hubungan
diplomatik dengannya.
Syria juga menjadi pintu keluar bagi negara Iran yang dikepung, dalam
masa yang sama mengizinkan buminya menjadi pangkalan bagi gerakan Islam
Hamas dan Jihad Islami, serta pangkalan bantuan bagi Hizbullah yang
berada di Selatan Lubnan.
Hamas dan Jihad Islami bermazhab Sunni, tidak sama dengan Bashar Assad
yang menganut mazhab Alawi. Begitu juga Republik Islam Iran dan
Hizbullah yang bermazhab Syiah Imamiyyah yang bertentangan juga dengan
mazhab yang dianut oleh Bashar dan keluarganya.
Diambil kira juga parti Baath yang menganut ideologi sosialis yang keras
sehingga hampir sama dengan negara komunis dan juga berfahaman
nasionalis fanatik yang keras terhadap Israel.Semua ini menunjukkan
bahawa masing-masing lebih menjadikan rakan strategik bagi menghadapi
musuh yang sama iaitu Israel.
Dalam masa yang sama, negara kuasa besar khususnya Amerika yang menjadi
rakan strategik Israel akan melindungi negara haram tersebut daripada
sebarang gerakan yang dianggap ancaman kepada keselamatan Israel
khususnya dalam berdepan dengan Islam.
Kumpulan Hamas, Jihad dan Hizbullah adalah ancaman paling bahaya
terhadap Israel dengan bantuan Iran secara terbuka. Ia diumumkan oleh
pemimpin utamanya Imam Ali Khamanaei dalam khutbah jumaatnya yang
terakhir, diikuti oleh lawatan rasmi ke Iran oleh Ismail Haniyyah,
Perdana Menteri Palestin yang tidak diiktiraf oleh Barat dan sekutunya
walaupun dipilih secara pilihanraya yang dipantau oleh pertubuhan
antarabangsa. Maka kesemuanya adalah ancaman besar terhadap negara
Zionis itu.
Sebelum daripada perkembangan ini, tercetus perang di Selatan Lubnan dan
selepasnya serangan terhadap Ghazzah. Kedua peristiwa percubaan Israel
ini yang menyerang bagi menghapuskan ancaman terhadap negara haram itu
menemui kegagalan yang memalukan.
Percubaannya gagal walaupun dengan bantuan negara-negara rakan Israel
dan sokongan terbuka dan tersembunyi oleh negara-negara Arab yang
bersahabat dengan Israel.
Kesemua negara Arab dan negara Islam itu menerima konsep Road Map tajaan
kuasa besar yang bertanggungjawab menubuhkan Israel. Ia juga ekoran
dicetuskan isu ancaman teknologi nuklear Iran, walaupun di atas tujuan
perbekalan tenaga, bukannya persenjataan kerana diharamkan oleh agama
Islam seperti dinyatakan oleh para pemimpinnya.
Sebaliknya Israel pula telah memiliki senjata nuklear sejak tahun enam
puluhan lagi, dengan tidak menandatangani apa-apa perjanjian
antarabangsa yang mencegahnya daripada melakukan sesuatu yang mengancam
keamanan dan keselamatan dunia.
Sebarang tindakannya yang dikira menceroboh dan mengganas dengan nyata
diselamatkan dengan kuasa veto oleh kuasa besar pelindungnya jika ada
sebarang keputusan yang tidak berpihak kepadanya. Inilah dia
undang-undang rimba yang diamalkan di peringkat antarabangsa iaitu siapa
yang kuat dia selamat.
PAS bersama dengan parti Islam di seluruh dunia mengutuk segala
kekejaman yang berlaku di Syria terhadap rakyatnya. PAS dan gerakan
Islam bersetuju supaya kerajaan Syria menghentikan kekejaman terhadap
rakyat.
Kami juga bersetuju supaya Syria didesak dan dipaksa membuat perubahan
kepada demokrasi yang sebenar. Namun kami tidak bersetuju jika perubahan
yang berlaku kerana hendak menyelamatkan negara haram Israel dan masuk
ke dalam agenda Israel dan sekutunya.
Tujuannya bukan menyelamatkan Syria tetapi lebih daripada itu untuk
menekan, melemah dan menghapuskan Hamas, Jihad Islami (daripada Sunni)
dan Hizbullah serta Iran (daripada Syiah).
Pihak yang melawan kerajaan Syria pula melibatkan kumpulan Islam dan
bukan Islam. Mereka dibekal dengan bermacam bantuan termasuk senjata dan
ada yang diberi di atas nama Islam dengan agenda menegakkan kerajaan
baru yang menyelamatkan Israel melalui gabungan kerjasama kumpulan Islam
yang tidak kuat dengan kumpulan sekular yang berpangkalan di negara
Barat yang lebih diperkuatkan supaya menguasai gerakan perubahan.
Media Israel melaporkan kenyataan pemimpin kerajaan dan tentera Israel
bahawa mereka mahukan perubahan yang bukan berteraskan Islam yang lebih
menyelamatkan Israel. Jika tidak maka Bashar Assad perlu diteruskan
berkuasa pada tempatnya. Ini kerana perubahan yang memberi kemenangan
kepada kumpulan Islam seperti di Mesir, Tunisia dan Libya lebih menjadi
ancaman kepada keselamatan Israel.
Usaha mereka bukan sahaja menyekat ancaman terhadap Israel daripada
utara dan selatannya, tetapi juga dilakukan bagi menghapuskan kekuatan
Iran dan kemajuan teknologinya.
Beberapa bulan yang lalu media Barat mendedahkan perselisihan pendapat
di kalangan Zionis Yahudi berhubung keperluan melancarkan serangan ke
atas Iran seperti yang pernah dilakukan ke atas janakuasa tenaga nuklear
Iraq di tahun 70-an di masa Saddam Husain.
Usaha juga dilakukan dengan menggunakan Iraq di zaman Saddam bagi
menyerang Iran yang baru berjaya dalam Revolusi Islam menjatuhkan regim
Shah yang pro Barat. Ada di kalangan mereka yang bersetuju supaya Iran
diserang habis-habisan. Mereka ialah kalangan pelampau Zionis yang
berada dalam negara haram Israel.
Ada juga yang tidak bersetuju Iran diserang. Mereka ialah kumpulan
Zionis yang berada di Amerika dan Eropah. Mereka bimbang tindakan itu
akan menyuburkan gerakan anti Zeonis dikalangan masyarakat barat apabila
berlakunya krisis sampingan selepas serangan itu.
Bagi melaksanakan agenda yang nyata dan tersembunyi ini, maka sudah
tentu Amerika dan sekutunya menjadi penyumbang besar bagi menjayakan
cita-cita keselamatan negara haram Israel. Kepada mereka yang dapat
membaca medan politik secara sepak terajangnya, bukan secara akademik
sahaja, perlu difahami bahawa politik perlu dibaca dengan dua aspek
iaitu akademik yang bersurat dan sepak terajang yang tersirat. Betapa
agenda melagakan umat Islam yang pernah menjatuhkan kerajaan Othmaniyah
di awal abad yang lalu sedang diulangi senarionya.
Pertama, umat Islam dilagakan dengan semangat kebangsaan masing-masing
sehingga membantu musuh bagi menjatuhkan kerajaan Othmaniyyah di abad
yang lalu tanpa menafikan adanya kezaliman dan kesilapan kerajaan
Othmaniyyah terhadap wilayahnya. Semangat nasionalisme digunakan bagi
menimbulkan kebencian Arab terhadap bangsa Turki yang menguasai kerajaan
Islam dimasa itu.
Di atas semangat kebangsaan dengan bantuan yang melibatkan manusia
seperti Lorans dan rakan-rakannya Arab dibantu untuk menentang Turki
Otmaniyyah. Akhirnya Kerajaan Othmaniyyah dijatuhkan dan diberi tempat
kepada Kamal Ataturk mendirikan kerajaan sekular menggantikan kerajaan
Islam di atas nama memajukan Turki tetapi berakhir dengan bangsat.
Di kalangan bangsa Arab pula diupah dengan bahagian masing-masing
mengikut road map Sykes Picot dengan membahagikan di kalangan negara
Barat untuk menjaganya dengan upah mengangkut hasil bumi yang kaya.
Manakala Arab pula dibayar dengan wang yang banyak supaya kaya-raya
tanpa teknologi yang dapat menguatkannya sehingga dapat berdikari dan
meninggalkan sifat Islamnya supaya tidak berakhlak, tetapi terus
berlindung dengan negara-negara Barat tersebut.
Negara-negara Arab yang mendapat bahagian ini masih lagi menjadikan hari
mendapat bahagian tersebut sebagai hari kebangsaan masing-masing yang
disambut dengan meriahnya secara tahunan.
Yang kedua, melagakan umat dengan mazhab yang ramai pengikut. Pengikut
Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang merupakan majoriti umat Islam dan
menjadi mazhab kerajaan Othmaniyyah yang bermazhab Hanafi, dilagakan
dengan mazhab Syiah Imamiyyah yang ramai penganutnya di Iran, Iraq dan
Selatan Lubnan dan menjadi mazhab Shah Iran di masa itu. Mazhab
Zaidiyyah yang sebahagian besar pengikutnya di Yaman dan juga menjadi
mazhab raja yang bergelar Imam yang memerintah Yaman.
Ada pun Oman pula bermazhab Khawarij Ibadiyyah. Syah Iran dan Imam Yaman
berperang dengan kerajaan Othmaniyyah. Oman pula menjadi pengkalan
kuasa barat.
Malangnya dalam pergolakan yang berlaku di Syria dan perang yang masih
dingin di antara Iran dan negara Barat dan sekutunya, isu nasionalisme
dan mazhab dihidupkan semula. Dihidupkan semula galakan semangat
nasionalisme di kalangan umat Islam sehingga meletakkan ajaran Islam
yang boleh menyatukan umat dan akhlaknya yang mulia dilupakan.
Masalah khilafiyyah di kalangan mazhab Islam yang satu dihidupkan
semula. Sepatutnya menjadi perbincangan di kalangan para ulama yang
mendalami ilmunya sahaja, tetapi dihidupkan bukan sahaja diantara Sunni
dan Syiah bahkan di antara Sunni dan Sunni. Ia disebarkan saperti salafi
(wahabi) dan Asya'irah dan Maturidiyyah di kalangan Ahli Sunnah.
Masalah cabang ajaran agama yang berbeza di kalangan empat mazhab dan
lain-lain dikalangan ahli sunnah dihidupkan kalangan masyarakat awam
yang cetek pengatahuan agamanya. Syiah Imam Khomeini dan Khaminaei yang
membuat perubahan politik daripada syiah tradisi di kalangan Syiah,
diantara syiah Arab dan syiah Parsi di Iraq.
Di samping menyebarkan mazhab-mazhab ini di kalangan umat Islam yang
masih jahil agama, bukannya menyebarkan dan menambahkan penyebaran Islam
di kalangan bukan Islam. Semua ini adalah agenda laga dan perintah atau
penjajahan semula yang sepatutnya difahami oleh umat Islam.
Dalam kemelut yang begitu celaru, umat Islam perlu kembali ke pangkal
jalan, mengenali kawan dan lawan serta mengambil iktibar daripada
kesalahan yang lalu. Para ulama dan pemimpin di zaman keemasan umat
Islam bersatu dalam perkara rukun dan berbeza pendapat dalam masalah
cabang sehingga tidak memisahkan hubungan persaudaraan agama dan
kemanusiaan berbagai agama dan kaum dalam negara Islam yang luas dan
besar.
Pandangan semua ulama dicatit menjadi kajian, termasuk pendapat paling
lemah kerana keadaan situasi dan realiti yang boleh berubah. Kesilapan
dalam perkara rukun diperbetulkan dengan kebijaksanaan.
Maka paling menariknya berlaku perkembangan Islam secara damai lebih
pesat daripada ketika berperang. Allah mengajar penganut Islam di zaman
Rasulullah S.A.W. supaya umat Islam bersatu di atas dasar dan konsep
Islam serta menggunakan pendekatan damai dan strategik dengan masyarakat
bukan Islam.
Walaupun Rasulullah S.A.W. sudah wafat dan para sahabat generasi awal
Islam berbeza pendapat siapakah pengganti Rasulullah S.A.W. selepas
wafatnya sehingga melahirkan mazhab Sunni, Syiah dan Khawarij. Namun
mereka bersatu bersama para Khulafa Rasyidin R.A. dalam menghadapi
cabaran dan menyebarkan Islam sehingga berjaya selama beberapa abad.
Mereka yang jahil dan melampau disingkirkan daripada masyarakat umat
yang besar.
Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berguru dan bersatu dengan Imam Jaafar
al-Sodiq pelopor Syiah Imamiyyah yang beribukan salah seorang daripada
zuriyat Abu Bakar Al Siddiq R.A. Semua para ulama yang berwibawa itu
menentang kezaliman di zaman Umawiyyah dan Abbasiyyah dan mendokong
sesiapa yang adil, seterusnya dakwah dan jihad diteruskan.
Adapun pertelingkahan yang tajam selepasnya, berlaku di kalangan para
jahil daripada semua pihak. Langkah penubuhan Majma' Fiqh di bawah OIC
yang melibatkan para ulama daripada semua mazhab itu adalah sangat
positif bagi umat Islam.
Begitu juga kenyataan dan fatwa pemimpin utama Iran Imam Ali Khaminaei
supaya para pengikutnya berhenti daripada mencaci dan menghina para
Ummahatul Mukminin (para isteri Rasulullah S.A.W.) yang bertaraf ibu
kepada seluruh orang-orang yang beriman dengan perintah Al Quran secara
nas dan berhenti menghina para sahabat R.A. Malah para ulama besarnya
memaklumkan bahawa lebih daripada sembilan ribu hadith yang ada dalam
kitab al-Kulaini yang menimbulkan masalah hendaklah ditolak.
Adapun langkah membiarkan kuasa asing yang dijemput menyelesaikan
masalah hanya mengulangi sejarah lama yang wajib dilipat dan
dikebumikan. Kalau mahu menghidupkan semula dalam pergolakan di Syria
terkini akan terlaksana sejarah lama yang mengundang singa dan buaya.
Natijahnya kalau selamat daripada mulut harimau akan masuk ke dalam
mulut buaya.



0 orang berkata:
Post a Comment