Syarikat Jepun akan ambil alih aset, liabiliti NFCorp
 
KUALA LUMPUR - National Feedlot Corp Sdn Bhd (NFCorp) hari ini menjelaskan bahawa syarikat Jepun, Kirimitonas Agro Sdn Bhd, bersetuju membeli keseluruhan saham dan syarikat berkaitan, dan seterusnya mengambil alih keseluruhan aset dan liabiliti, termasuk pinjaman RM250 juta dengan Kerajaan Malaysia.

Kedua-dua pihak menandatangani perjanjian jual beli pada 21 Feb, kata Pengerusi NFCorp Datuk Seri Mohamad Salleh pada sidang media di sini hari ini.

"NFCorp tidak mengetahui mengenai sebarang kelainan kepada terma dan syarat dalam persetujuan itu, dan sama ada pembeli memaklumkan kepada pelanggan mengenai perkara yang bertentangan," katanya semasa menjelaskan kenyataan yang dibuat oleh anggota parlimen pembangkang mengenai perkara itu. - Bernama