Yakin 16-16 berjaya KUALA TERENGGANU – Pemuda Pas yakin kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut dengan mengetengahkan motto ‘16-16’ mampu menarik golongan pengundi termasuk orang muda beri kemenangan terhadap calon Pas.

Timbalan Ketuanya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, perkembangan itu sesuatu yang baru dalam  politik di negara ini dan perkara itu sudah tentu menimbulkan perasaan ingin tahu ramai pihak.


Menurutnya, pihaknya juga akan terus mendekati anak muda dengan mesra bagi menarik mereka bersama-sama Pas beri kemenangan kepada calon parti itu, 24 Julai ini.


“Tumpuan Pemuda adalah anak muda di Kuala Besut," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Forum Ambang Ramadan sempena Karnival Jom ke Masjid di Masjid Pengadang Baru, di sini, kelmarin.


Turut serta sebagai panel forum ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua  Pemuda Pas Terengganu, Mohd Nor Hamzah.



Pada majlis sama, Abdul Hadi turut merasmikan Pelancaran Ramadan Bulan Tarbiyah sempena karnival yang berlangsung tiga hari bermula Khamis lalu.

Mengulas lanjut, Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas tidak menolak kemungkinan keputusan pilihan raya berpihak kepada parti itu walaupun Pas alami kekalahan cukup besar dengan 2,434 majoriti undi pada PRU13 lalu.


Beliau yang turut menaruh harapan tinggi berkata, sokongan golongan muda terhadap Pas turut memainkan peranan besar untuk memastikan kemenangan parti itu di Kuala Besut, sekali gus memberi kedudukan seimbang 16-16 bagi Dun Terengganu.


Menurutnya, jentera Pemuda akan turun ke Kuala Besut minggu ini bagi membantu kemenangan calon Pas.