Mustafa Ali
Mustafa Ali
SHAH ALAM – Pas menegaskan sebagai sebuah parti yang mendukung prinsip demokrasi, ia tetap akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, 24 Julai depan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, isu menghormati  bulan Ramadan dan keputusan PRU lalu sekali gus meminta parti itu tidak bertanding, tak berbangkit.

Tambahnya, menyertai pilihan raya dan bertanding adalah salah satu ciri demokrasi yang menjadi amalan parti.

“Kita hormat proses demokrasi sebab itu meletakkan calon pada PRK ini.

“Kalau nak kata kena hormat bulan Ramadan, PRK tahun 1979 dulu pun kita pernah ada PRK di Dun Kuala Besut juga, itu pun dalam bulan puasa.

“Lagipun itu bukan kuasa kita meletakkan tarikh, itu kuasa SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya),” katanya kepada Sinar Harian Online.

Semalam, Ketua Umno Besut, Datuk Seri Idris Jusoh meminta agar Pas tidak meletakkan calonnya pada PRK Dun Kuala Besut bagi menghormati kemenangan BN dalam pilihan raya umum lalu dan bulan Ramadan.

Mengulas lanjut, Mustafa juga berkata, mana-mana pihak tidak boleh menghalang Pas untuk bertanding jika menurut prinsip demokrasi .

“... jika ada pihak yang tidak membenarkan mana-mana parti bertanding, ia bukan demokrasi,” ulas beliau.