Boneka AS kuasai Mesir
Ratusan penyokong anti Mursi meraikan pelantikan ElBaradei di jalan-jalan utama sekitar Kaherah.

Mohamed ElBaradei
Mohamed ElBaradei
SEJAK hari pertama penggulingan Presiden Mohamed Mursi, khabar angin bertiup kencang mengenai kemungkinan nama ejen Amerika Syarikat (AS) Mohamed ElBaradei bakal tersenarai dalam kerajaan sementara Mesir sebagai Presiden atau Perdana Menteri.

Namun kini segalanya terus menjadi persoalan apabila pemenang Anugerah Nobel Keamanan dan bekas Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu mungkin bergelar Perdana Menteri selepas berjaya dilobi AS dengan alasan untuk meredakan dan menangani krisis di negara itu selepas bergolak sepanjang minggu lalu.

Ketika perkara itu terus menjadi persoalan, Dataran Tahrir dan Dataran Raba’ah masih bermandi darah. Kumpulan anti Mursi didalangi pergerakan Tamarod yang suatu ketika dahulu pernah menggulingkan bekas Presiden diktator Hosni Mubarak pada 2011 meneruskan protes hingga puluhan nyawa terkorban dan ribuan cedera.

Agensi berita Mena dan beberapa sumber pegawai mengesahkan, pelantikan ElBaradei dibuat selepas Presiden sementara Adly Mansour mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin dalam barisan kerajaan sementara termasuk tentera semalam.

Penasihat dan jurucakap presiden sementara, Ahmed al-Muslimani yang baru dilantik kelmarin berkata, ElBaradei adalah pilihan logik dan terkuat,” menurut laporan itu.

Sebelum lantikan dibuat, Angkatan Tentera Mesir diketuai Jeneral Abdel Fattah al Sisi sedaya upaya meyakinkan ‘parti atas pagar’ Salafi Al-Nour  untuk serta menyokong pelantikan itu.

Kini, Angkatan Tentera Mesir, pergerakan Tamarod, Parti Penyelamat Negara dan penyokong anti Mursi bersorak di Dataran Tahrir dan di hadapan Istana Ittihadiya  bagi menyokong pelantikan tersebut. Sementara, jutaan penyokong Mursi mengalirkan air mata dan masih terus berkabung atas penggulingan insan bergelar Hafiz itu.

Usaha penyokong Mursi untuk melihat pemimpin itu dibebaskan masih dilakukan dengan jutaan pengikutnya berhimpun melakukan solat Hajat dan berkhemah di luar Masjid Rabaa al-Adawiya, Kaherah dengan ulama terkemuka Mesir, Yusuf al-Qaradawi mengeluarkan kenyataan meminta jutaan rakyat Mesir meneruskan sokongan ke atas Mursi.

AS mengaku desak Mursi meletak jawatan sejam sebelum digulingkan

Penasihat kanan Mursi yang juga diarahkan untuk perintah berkurung ketika penangkapan Presiden itu, Essam al Haddad mendedahkan, sejam sebelum Mursi digulingkan, Penasihat Keselamatan AS Susan Rice menghubungi Mursi memaklumkan rampasan kuasa oleh tentera akan berlaku sekiranya beliau terus berdegil enggan meletakkan jawatan.

“Menteri Luar Arab sebagai wakil kepada AS telah menghubungi Mursi mendesak supaya melepaskan jawatannya itu bagi mewujudkan peralihan baru dalam Kabinet  atau tentera akan melakukan rampasan kuasa,” katanya.

Essam berkata, ketika itu beliau ada bersama Mursi di rumah Pengawal Keselamatan Republikan dan Mursi terus berkeras enggan melepaskan jawatan itu dan bersumpah untuk terus menyelamatkan Mesir.

“Mursi kemudiannya menghubungi Duta AS ke Mesir Anne W Patterson dan menyatakan pendirian beliau sebagai tidak akan melepaskan jawatan itu dan jangan masuk campur dalam urusan negara,” katanya.

Menurutnya, selepas Mursi selesai menghubungi Patterson, Rice kemudiannya menghantar  khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur sindiran.

“SMS berbunyi: ‘Ibu Amerika baru menghubungi kami, permainan ini akan tamat dalam tempoh sejam’-- (Ibu Amerika merujuk kepada gelaran sinis Mesir bagi kuasa Barat yang telah bertahun-tahun menyokong dan memberi berbilion dana kepada tentera Mesir). Sejam kemudian, SAH! Abdel Fattah mengumumkan penggulingan Mursi dan tentera mengambil alih kuasa,” katanya.


Campur tangan AS jelas

Jika disingkap, punca penggulingan dan desakan menjatuhkan Mursi melalui protes besar-besaran memang didalangi oleh AS dan tuduhan itu adalah jelas.

Pentadbiran Mursi selama setahun lima bulan itu goyah selepas dua kumpulan dalam pentadbiran beliau sering berselisih pendapat.

Ini kerana semua barisan penentang beliau terdiri daripada individu mempunyai hubungan rapat dengan AS manakala kumpulan penyokong beliau terdiri daripada gerakan Ikwanul Muslimin yang telah bertapak di Mesir lebih 80 tahun.

Sejak Mursi melantik Abdel Fattah sebagai komander tertinggi negara, Mursi selalu dituduh memonopoli kuasa dengan memberikan jawatan tertinggi kepada ahli Ikwanul Muslimin.

Essam berkata, lantikan Abdel Fattah merupakan kejutan kepada gerakan itu tetapi mereka menerima lantikan tersebut dengan hati terbuka selepas diberi keyakinan oleh Mursi apabila menggelar Jeneral itu sebagai ‘orang boleh dipercayai’.

“Ketika saya dan Mursi menghadiri mesyuarat di Washington Disember lalu, Barrack Obama mendesak supaya melantik wakil pembangkang untuk membarisi Kabinet. Setiausaha Negara, John Kerry pula pernah mencadangkan ElBaradei patut dilantik sebagai Perdana Menteri tetapi cadangan itu ditolak mentah oleh Mursi,” katanya.

Kini jelas, segala episod drama penggulingan Mursi tercatat dan dirancang dari awal oleh sekutu AS yang selama ini menjadi 'musuh dalam selimut' kepada pentadbiran MOHAMED MURSI...