• DAP buat laporan polis isu gengster Khoo (tengah) bersama Lai (kanan) menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya, semalam.
1 / 1
AYER KEROH - Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong membuat laporan polis, meminta siasatan dibuat berhubung kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai isu ‘gengster’ di dalam satu majlis di MITC, Melaka pada 5 Oktober lalu.

Menurut laporan tersebut, Ahmad Zahid didakwa mengeluarkan kenyataan berbunyi: ‘Dulu gengster kena tangkap akan dapat surat daripada pemimpin parti komponen BN atau wakil rakyat untuk melepaskan gengster-gengster tersebut’.
Kenyataan itu dikatakan dibuat ketika Majlis Taklimat Keselamatan Bersama Pemimpin Masyarakat di Ballroom, MITC.

Laporan itu memetik, antara parti komponen terlibat adalah MIC, PPP, MCA, IPF dan Gerakan.

Justeru, beliau meminta supaya siasatan dibuat terhadap identiti yang dimaksudkan kerana mencampuri urusan polis sekali gus bercanggah dengan undang-undang negara.

“Saya mahu Menteri Dalam Negeri dedahkan siapakah pemimpin yang pernah menulis surat kepada Kementerian Dalam Negeri untuk meminta mereka lepaskan gengster yang ditangkap.

“Kita memandang perkara ini amat serius kerana ia telah mengganggu dan mencampuri kerja-kerja polis,” katanya.

Khoo ditemui selepas membuat laporan itu di Balai Polis Ayer Keroh pada jam 11.34 pagi semalam dengan ditemani, Adun Kota Laksamana, Lai Keun Ban.