Pengerusi PAC akan saman penulis artikel kaitkan dirinya dengan “Tiga Line”
OLEH MOHD FARHAN DARWIS
Pengerusi
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed
(gambar) akan mengemukakan saman terhadap penulis artikel kerana memuat
naik artikel yang didakwa memfitnah dirinya mempunyai hubungan dengan
kongsi gelap "Tiga Line."
Ahli Parlimen Pulai itu berkata, artikel yang ditulis oleh Kim Quek bertajuk Will PM Najib exert leadership over errant minister Zahid? dan
dimuat naik The Malaysian Insider semalam tidak mengandungi fakta yang
tepat kerana penulis berkenaan hanya mendapatkan maklumat daripada
rakaman video yang dimuat naik oleh sebuah portal berita lain.
"Dia (penulis) tidak berada pada majlis itu, dan menulis artikel
berkenaan semata-mata berdasarkan video yang dimuat naik dalam portal
berita Malaysiakini dengan terus mengaitkan saya terbabit dalam kumpulan
kongsi gelap, Tiga Line.
"Saya berada di situ, atas jemputan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi dan keseluruhan ucapan beliau tidak seperti yang
ditulis dalam artikel berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di Kuala
Lumpur, hari ini.
Nur Jazlan berkata, beliau juga sudah membaca artikel berkenaan.
Selain Nur Jazlan, penulis artikel itu turut mengaitkan nama Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Pengerusi Tabung
Haji, Datuk Abdul Azeez Rahim dan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul
Anuar Nasarah terbabit dalam kumpulan kongsi gelap, Tiga Line.
Nur Jazlan berkata, Taklimat Keselamatan yang diadakan Ahmad Zahid di
Ayer Keroh itu adalah untuk pemimpin akar umbi di Melaka dan ia perlu
bagi memberikan maklumat terus kepada golongan berkenaan mengenai usaha
yang diambil kerajaan dalam memerangi jenayah.
Katanya, taklimat keselamatan berkenaan adalah usaha berterusan
Kementerian Dalam Negeri dalam memberikan gambaran sebenar kepada
masyarakat akar umbi mengenai tahap keselamatan terkini di negara ini.
"Sebagai Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid jelas memperjudikan
keselamatan beliau dan keluarganya, apabila terang-terangan berdepan
dengan kumpulan kongsi gelap di negara ini, dalam usaha memastikan
ketenteraman awam dipelihara.
"Namun, ada pihak yang cuba menangguk di air keruh, dengan
memutarbelitkan keseluruhan fakta dalam ucapan berkenaan dan mendakwa
saya serta tiga rakan lain bersama Ahmad Zahid terbabit dalam kumpulan
kongsi gelap," katanya.
Beliau turut menyuarakan rasa kesal apabila ada pihak yang cuba bermain
sentimen dengan isu keselamatan sedangkan kerajaan berusaha keras dalam
memerangi jenayah.
Katanya, beliau sudah berbincang dengan peguamnya dan akan mendapatkan
nasihat terperinci sebelum tindakan undang-undang dimulakan terhadap
penulis artikel berkenaan. - 9 Oktober, 2013.


0 orang berkata:
Post a Comment