07 Oktober, 2013
Muhkriz Ramal BN Kecundang PRU14
Jikalau ini pandangan ikhlas Muhkriz, maknanya Umno makin hampir tamat
riwayatnya. Dari PRU11, PRU12 dan yang terbaru PRU13 majoriti rakyat
Malaysia melihat Umno BN semakin tidak relevan di hati rakyat Malaysia.
Mungkin Umno boleh bercakap, Umno makin kuat dengan pertambahan kerusi.
Tetapi jika di lihat kerusi BN, kuasanya makin berkurang.
Selepas ini apa pulak tindakan luar jangka pemimpin Umno untuk memenuhi impian mereka sebelum Umno BN tumbang pada PRU14 nanti..
Mukriz mahu jadi Naib Presiden sebelum Umno 'kecundang' PRU14
Calon Naib Presiden Umno, Datuk Mukhriz Mahathir (gambar) mahu menang
dalam pertandingan merebut jawatan itu sebelum berputih mata melihat
parti Melayu terbesar itu tewas dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Beliau menyifatkan Umno sudah tidak mempunyai banyak masa dan keputusan
beberapa pilihan raya sebelum ini jelas menunjukkan prestasi Umno dan
Barisan Nasional (BN).
"Jika saya lewat mengambil keputusan untuk bertanding, silap-silap PRU14
kita dah kecundang. Umno sudah tiada masa. Kita telah lihat senario
PRU12 dan PRU13, apa agaknya keputusan PRU14 nanti?
"Kalau kita masih tidak berasa cemas dan hendak tunggu 10 ke 15 tahun
lagi, kita terimalah padahnya," kata anak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad
itu ketika ditemui The Malaysian Insider sewaktu majlis memperkenalkan
calon pemilihan Umno kepada perwakilan di Pusat Dagangan Dunia Putra
(PWTC) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menteri Besar Kedah itu turut melihat beliau mampu memberi saingan
sengit kepada lima calon lain yang akan merebut jawatan naib presiden
Umno sambil menyifatkan dirinya agak terlewat bertanding merebut jawatan
itu.
Katanya, peluang memenangi jawatan itu dianggarkan sekitar 50% dan tidak
mahu menaruh keyakinan terlalu tinggi kerana menurutnya lima lagi calon
yang bertanding bukan calang-calang orangnya.
"Saya ke gelanggang naib presiden agak lewat kerana calon lain sudah dua
atau tiga kali menyandang jawatan ini. Peluang itu ada namun saya tidak
berani meletakkan harapan terlalu tinggi.
"Kali ini saya lihat kuasa mengundi itu terletak pada perwakilan yang
ramai iaitu 146,500 orang. Saya yakin mereka sudah cukup matang untuk
membuat penilaian sendiri. Pada hari pemilihan, mereka akan membuat
keputusan mengundi mengikut suara hati dan bukan desakan pihak atasan,"
katanya.
Ketika ditanya adakah pertandingannya kali ini mengganggu penyandang
jawatan naib presiden sedia ada, beliau berkata: "Inilah demokrasi.
Kalau tiada yang 'kacau daun' maka pemilihan tidak perlu diadakan dan
kita boleh isytihar menang tanpa bertanding."
Dalam perkembangan lain, beliau mahu pengundi di kawasan Dewan Undangan
Negeri (DUN) Sungai Limau memberi mandat kepada BN pada Pilihan Raya
Kecil (PRK) 4 November ini bagi sama-sama merasai pembangunan yang
dijalankan oleh kerajaan negeri.
Beliau menyedari DUN Sungai Limau adalah kubu kuat PAS dan BN mempunyai cabaran besar untuk memenangi PRK kali ini.
"Saya telah nyatakan kepada pengundi Sungai Limau baru-baru ini, BN
sebenarnya berhasrat membawa pembangunan di kawasan itu dan bukan untuk
bersaing dengan sesiapa.
"Kerajaan pusat dan kerajaan negeri ditadbir oleh BN. Jadi kita nak
kongsi hasil negeri Kedah dengan penduduk di Sungai Limau juga,"
katanya.
Penyandang kepada jawatan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein
ketiga-tiganya bertanding untuk mengekalkan jawatan.
Selain itu, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Mohd Isa Samad turut
menghangatkan suasana dengan menyertai pertandingan enam penjuru itu.
Seramai 33,942 calon layak bertanding di peringkat pusat dan bahagian
serta ketiga-tiga sayap parti. Pengundian bagi pergerakan Pemuda, Wanita
dan Puteri peringkat bahagian dan pusat akan berlangsung pada 12
Oktober manakala pengundian bagi bahagian dan Majlis Tertinggi pada 19
Oktober.
Dijangka lebih 146,500 perwakilan akar umbi mengambil bahagian mengundi
pada pemilihan kali ini berikutan pindaan perlembagaan parti pada 2009. ~tmi



0 orang berkata:
Post a Comment