12/12/13
Mahkamah Persekutuan Perintah Petisyen Pilihan Raya Machang Didengar Semula
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya yang difail
Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membatalkan kemenangan Barisan Nasional
(BN) di Parlimen Machang pada pilihan raya umum ke-13 didengar semula.
Panel lima hakim diketuai Tun Arifin
Zakaria membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan calon PKR Wan
Zawawi Wan Ismail bagi mengetepikan perintah Mahkamah Pilihan Raya yang
membatalkan petisyennya pada 16 Julai lepas.
Dalam penghakimannya, Arifin berkata
hakim pilihan raya tidak sepatutnya membatalkan pertisyen itu atas
alasan pempetisyen gagal mematuhi beberapa peraturan mengikut Kaedah 9
dan Kaedah 34 Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.
Arifin, yang bersidang bersama-sama Tan
Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad
Maarop dan Datuk Hasan Lah berkata Mahkamah Pilihan Raya perlu
mendengar kes itu berdasarkan merit.
Beliau kemudian menetapkan 17 Dis
sebagai pengurusan kes bagi petisyen itu.Mahkamah Pilihan Raya
membatalkan petisyen Wan Zawawi selepas membenarkan bantahan awal peguam
Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili responden.
Wan Zawawi menamakan Anggota Parlimen
Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, pegawai pengurus pilihan raya dan
Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden.
Ahmad Jazlan, yang juga Ketua Umno
Bahagian Machang, menewaskan Wan Zawawi dengan majoriti 805 undi pada
pilihan raya umum ke-13.
Pada prosiding pada Selasa, panel sama
menolak lima rayuan berkaitan petisyen pilihan raya selepas mendengar
hujah pihak berkaitan.
Tiga daripada petisyen itu difail oleh
PAS bagi kerusi Dewan Undangan Pasir Panjang, Manong dan Rungkup di
Perak manakala dua oleh BN bagi kerusi Parlimen Bachok dan kerusi Dewan
Undangan Negeri Jelawat di Kelantan.
Sementara itu, satu lagi panel lima
hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md
Raus Sharif turut menolak petisyen pilihan raya PAS bagi kerusi Dewan
Undangan Selama.
Md Raus, yang bersidang bersama-sama Tan
Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan
Datuk Seri Abu Samah Nordin, membuat keputusan itu selepas peguam
pempetisyen Mohd Akmal Kamaruddin tidak hadir ke mahkamah.
Rayuan itu ditolak dengan kos RM20,000.
Mahkamah itu turut menetapkan 23
Disember ini untuk memutuskan petisyen pilihan raya bagi kawasan
Parlimen Bagan Datoh, Sungai Besar, Tapah dan kerusi Dewan Undangan
Negeri Lubok Merbau. -BERNAMA


0 orang berkata:
Post a Comment