• Perkahwinan antara Syiah, Sunni haram Mohd Mokhtar (dua, kanan) pada sidang media, semalam.
1 / 1
SHAH ALAM - Perkahwinan antara penganut Syiah dan Sunni tidak boleh didaftarkan dengan Majlis Agama Islam Negeri dan perkahwinan itu dianggap haram kerana fahaman Syiah telah difatwa menyeleweng di Selangor.

Anggota Majlis Fatwa Selangor, Datuk Mohd Mokhtar Shafii berkata, penganut Syiah tidak boleh berkahwin dengan orang Sunni kerana fatwa negeri mengharamkan ajaran Syiah, dan ia sama seperti mana penganut agama lain yang mahu berkahwin dengan orang Islam, mereka perlu memeluk Islam dan mesti berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Jika perkahwinan antara Syiah dan Sunni itu haram, maka status anak mereka juga adalah tidak sah taraf namun kanak-kanak itu tidak bersalah cuma perlu dirujuk kepada jabatan agama Islam bagaimana cara terbaik menyelesaikannya,” katanya.

Mohd Mokhtar berkata jika ada mana-mana pihak yang mengetahui perkahwinan mereka tidak sah berikutan perbezaan pegangan mazhab, perkahwinan itu layak dipisahkan dan perlu merujuk kepada undang-undang Islam negeri.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan semua pihak perlu saling membantu membendung amalan fahaman Syiah itu daripada terus tersebar kerana ia hanya membawa kesan buruk kepada keturunan sesuatu bangsa, perubahan cara hidup dan akidah umat Islam pada masa depan.