• Shahidan Kassim Shahidan Kassim
1 / 1

KUALA LUMPUR - Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah bersiap siaga sepenuhnya dalam menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku Rabu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata persiapan itu lebih baik berbanding ketika menghadapi gelombang pertama dengan semua jentera dari agensi terbabit telah digerakkan.

"Contohnya, lebih banyak lori dan bot disediakan. Bantuan juga akan dihantar dengan lebih kerap pada setiap hari ke pusat pemindahan yang dikawal selia pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Jika ada kekurangan, sila maklumkan segera kepada pegawai daerah, ketua kampung, mana-mana pegawai kerajaan selain pihak berkuasa seperti polis, tentera, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam.

 "Jangan buat perkara yang melembapkan proses penghantaran bantuan. Mangsa banjir mesti dibela," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat dan taklimat khas MKN di bangunan Parlimen hari ini.

Shahidan berkata pusat pemindahan yang lebih baik juga telah dikenal pasti bagi menempatkan mangsa banjir, berbanding yang dipilih sebelum ini berikutan aduan terdapat pusat pemindahan yang tidak selesa dan strategik.

 Katanya Jabatan Meteorologi meramalkan gelombang kedua banjir berpunca dari hujan lebat berterusan dan fenomena air pasang yang sekaligus menyebabkan banjir dan amaran hujan lebat telah dikeluarkan sebelum ini.

 Menurutnya kawasan yang dijangkakan akan terlibat dengan gelombang kedua ialah Kemaman, Dungun di Terengganu dan Kuantan, Pekan, Rompin, Maran dan Temerloh di Pahang. - Bernama