• Harun Taib  
  • Datuk Harun Taib
1 / 1
SHAH ALAM - Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan bukti yang menyatakan pemimpin nombor dua Pas terlibat ajaran Syiah.

Beliau berkata jika benar seperti yang dikatakan menteri tersebut, Pas akan mengambil bertindak termasuk meminta pemimpin terlibat mengangkat sumpah.

"Zahid kemukakanlah dulu bukti, kalau Zahid ada.

"Saya tak mahu Mat Sabu sumpah dahulu, kita nak tengok bukti dulu.

"Saya pun nak tengok (bukti), lepas itu baru kita boleh ambil tindakan," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan nama Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu kembali dikaitkan dengan ajaran Syiah.

Perkara itu dinyatakan oleh Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno pada ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Umno.

Susulan itu, Mohamad atau Mat Sabu telah menyatakan akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahmad Zahid sekaligus mengakui beliau adalah pengikut dan pengamal ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Terbaru, Ahmad Zahid berjanji akan mendedahkan bukti mengenai pemimpin nombor dua Pas terlibat ajaran Syiah.

Dalam pada itu,  Harun yang juga Pesuruhjaya Pas berkata, dalam perlembagaan Pas ahlinya adalah mesti daripada pengikut Sunni.

"Saya tak tahu, saya tak terima apa-apa laporan mengenai Syiah dalam parti.

"Lagipun perlembagaan kita telah tetapkan ahli Pas mesti mengamalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah," jelasnya.