• Tengku Adnan
1 / 1
KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengemukakan permohonan maaf sekiranya golongan wanita terasa dengan kenyataannya yang menyamakan wanita dengan hartanah.

Katanya, beliau sendiri amat menghormati golongan wanita kerana mempunyai enam orang anak perempuan.


“Saya tidak pernah tidak hormat perempuan...saya ada enam anak perempuan, bahkan dalam Umno, separuh daripadanya adalah golongan wanita.

"..sebab itu jika wanita tersinggung, saya minta maaf dan saya memang tidak bermaksud," katanya yang dipetik dari sebuah portal berita, hari ini.


Sebaliknya, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan bagaimanapun dilaporkan  menyalahkan media yang didakwa salah tafsir kenyataannya itu.


“Ada beberapa wartawan yang menyalahtafsirkan kenyataan saya itu walhal saya memaksudkan dalam makna yang lain.


“Saya tidak pernah menyamakan wanita dengan hartanah. Apa saya maksudkan orang tidak faham iaitu kalau anda buat rumah cantik, seperti wanita juga, kalau mahu cantik pakai 'makeup'," katanya lagi.


Beliau menjelaskan, frasa ayatnya  “seperti wanita yang tiada alat solek” tidaklah memaksudkan mereka itu seperti hartanah.


Semalam, Tengku Adnan dilaporkan menghina wanita Malaysia apabila menyatakan bahawa 'hartanah seperti wanita, harganya meningkat apabila memakai alat solek dan jika tidak memakai alat solek harganya menurun' ketika menjelaskan mengenai kadar cukai taksiran hartanah di Kuala Lumpur.


Berikutan kenyataannnya itu, bekas Ketua Wanita MCA, Yu Chok Tow menggesa Tengku Adnan meminta maaf dan mendakwa kenyataan tersebut mempunyai maksud mendalam serta memperkecilkan-kecilkan wanita.


“Harga diri seorang wanita itu letaknya pada kemahiran, keperibadian dan pemikirannya dan bukannya pada alat solek.


“Kita menggesa beliau membetulkan kenyataan itu kerana kita percaya semua wanita akan menentang kenyataannya itu,” katanya.