• Abdul Hadi Awang Datuk Seri Abdul Hadi Awang
1 / 1
SHAH ALAM – Kematian pejuang Islam Bangladesh, Abdul Kader Mullah yang dihukum gantung atas tuduhan terlibat dalam jenayah perang pada 1971 bagi menuntut kemerdekaan menunjukkan kebenaran sukar dimengertikan.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pada perbicaraan Mullah sudah menunjukkan satu momokan terhadap sistem keadilan apabila kesalahan yang disabitkan terhadapnya berdasarkan fakta yang meragukan dan penuh sentimen politik dalaman Bangladesh.


“Ia bukan sahaja mendapat bantahan di Bangladesh sendiri tetapi juga turut dikecam oleh komuniti Islam di peringkat antarabangsa.


“Jelas sekali tindakan menukar hukuman asal terhadap Mullah dari penjara seumur hidup adalah di atas desakan politik dalaman menerusi demonstrasi jadian seperti protes Shahbag pada Februari 2013.


“Protes tersebut adalah yang menjadi tulang belakang agenda jahat kumpulan sekular yang bencikan Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Mullah merupakan Penolong Setiausaha Agung Jamaat-e-Islami Bangladesh menjalani hukuman gantung pada Jumaat lalu selepas disabitkan  atas kesalahan jenayah kemanusiaan.

Beliau telah gagal dalam tuntutan pada rayuan akhir terhadap hukuman mati.


Mullah yang dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada Februari lalu telah mencetuskan protes jalanan yang ganas di Bangladesh yang mengorbankan kira-kira 100 orang.


Sementara itu, tambah Abdul Hadi, turut berharap seluruh ahli keluarga dan penyokong Mullah bersabar dan yakin bahawa kehidupan akhirat adalah kekal abadi dan syurga adalah janji dari ALLAH SWT.


“Teruskan perjuangan menentang kezaliman, mengikut al-Quran dan as-Sunnah serta sirah para Nabi SAW di mana fajar kemenangan Islam akan menyinsing jua dengan izin ALLAH,” katanya lagi.