Kerajaan dicadang mengisytiharkan darurat di Kemaman, Terengganu kerana
puluhan ribu terperangkap dalam banjir yang paling besar dalam sejarah
bandar itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok Terengganu, Dr Syed Azman
Ahmad Nawawi, berkata kerajaan perlu mengabil tindakan segera bagi
menyelamatkan mereka yang terperangkap.
"Banjir menenggelamkan seluruh bandar Kemaman. Kita yakin ramai yang
terperangkap di kampung terpencil," katanya ketika menghubungi The
Malaysian Insider.
Bernama melaporkan, jumlah mangsa banjir di Johor dan Terengganu yang
dipindahkan ke pusat pemindahan meningkat pagi ini, dengan masing-masing
mencatat 7,106 dan 3,486 orang, sementara beberapa jalan turut
terjejas.
Ketua Polis Daerah Mersing, DSP Zulkifli Hashim, berkata di Johor,
laluan di Batu 18 Sungai Ara-Kota Tinggi terputus hubungan dan tidak
boleh dilalui kenderaan berat selepas dinaiki air setinggi empat meter.
Katanya, KM16 Jalan Kota Tinggi-Mersing pula hanya dibuka sebelah
laluan ekoran tanah runtuh berdekatan Institut Latihan Perindustrian
(ILP).
Di Terengganu, beberapa batang jalan utama ditutup termasuk Jalan
Jerangau-Jabor di Dungun, ditutup kepada semua kenderaan kerana
ditenggelami air setinggi dalam 1 meter.
Selain itu, Jalan Cukai-Air Putih di Kemaman, turut ditutup kepada
semua kenderaan setelah ditenggelami air setinggi 0.6 meter manakala
Jalan Ajil-Kuala Berang, di Hulu Terengganu ditenggelami air sedalam 0.9
meter.
Mengenai jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Johor, portal bencana
Majlis Keselamatan Negara, memaklumkan, Mersing mencatat jumlah
tertinggi iaitu seramai 5,441 orang, diikuti Segamat (1,184), Kota
Tinggi (192), Kluang (189), Muar (87) dan Batu Pahat (13).
Antara kawasan dilanda banjir di Mersing ialah Kampung Sawah Datuk,
Pengkalan Batu, Kampung Air Tawar, Kampung Labung, Kampung Tenglu,
Kampung Peta, Kampung Makam, Kampung Air Papan dan Kampung Air Merah.
Di Segamat, kawasan yang terjejas melibatkan Kampung Pogoh, Kampung
Logah, Kampung Gemereh, Kampung Segamat Kecil, Kampung Paya Dalam dan
Kampung Bumbun, manakala di Kota Tinggi melibatkan Kampung Perpat,
Kampung Gembut dan Kampung Mawai Baru.
Kawasan yang terjejas di Kluang ialah Ladang Mutiara, Yap Tau Sah dan
Kampung Contoh dekat Kahang, manakala di Muar, Felda Maokil dan Batu
Pahat melibatkan Kampung Haji Khamisan, dekat Yong Peng.
Di Terengganu, jumlah keluarga yang terbabit dalam perpindahan meningkat kepada 897 berbanding 724 keluarga, malam tadi.
Menurut portal itu, dua lagi pusat pemindahan dibuka menjadikan jumlah keseluruhan pusat sebanyak 44 buah.
Setakat ini, tiga daerah di Terengganu masih dilanda banjir dengan
Kemaman paling teruk terjejas diikuti Dungun dan Hulu Terengganu.
Sehingga pukul 9 pagi, jumlah mangsa banjir di Kemaman seramai 2,480
daripada 623 keluarga dan 29 buah pusat pemindahan beroperasi di daerah
itu.
Antara pusat pemindahan itu ialah Balai raya JKKK Padang Kubu, rumah
pegawai Sungai Mas, surau, pejabat Felda, masjid, dewan rumah murah dan
sekolah. - 4 Disember, 2013.



0 orang berkata:
Post a Comment