•  Hadi digesa tarik balik kenyataan Syamsul meninggalkan Balai Polis Binjai selepas membuat laporan polis agar siasatan terhadap Abdul Hadi dilakukan.
1 / 1
KOTA BHARU- Susulan dakwaan ‘Umno paling kuat tentang Islam', Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang digesa menarik balik kenyataan yang disifatkan cuba mengelirukan masyarakat selain meminta maaf berhubung perkara berkenaan.

Pengerusi Biro Bertindak Agama NGO Minda Pondok, Mohd Syamsul Mohd Yusoff berkata, kenyataan Abdul Hadi ketika Muktamar Tahunan Pas kali ke-59 bulan lalu yang mengatakan Umno paling kuat menentang Islam berbanding DAP amat keterlaluan.


“Umno dan DAP jauh berbeza, apabila disebut demikian (Umno paling kuat menentang Islam berbanding DAP), ini bermaksud kenyataan Hadi itu ditujukan kepada ahli Umno.


“Apabila mengatakan ahli Umno menentang Islam, ia satu kenyataan bercanggah, kerana Umno juga terdiri daripada orang Islam.
 
"Malah ia (Umno) sendiri dikatakan sebuah kerajaan yang hebat apabila meletakkan Islam dalam perlembagaan,” katanya kepada media selepas membuat laporan polis terhadap Abdul Hadi di Balai Polis Binjai, di sini, kelmarin.

Sambil menyifatkan kenyataan tersebut sebagai cuba mengelirukan masyarakat dengan niat memancing undi, Mohd Syamsul berkata, tindakan menarik balik dan memberi penjelasan berhubung perkara itu perlu dilakukan bagi mengelak perkara lebih buruk.


Mohd Syamsul juga menolak jika ada yang menyifatkan tindakan NGO Minda Pondok sebagai cuba mengaibkan Presiden Pas itu, sebaliknya bagi menggesa agar kenyataan itu diperbetulkan dan rakyat mendapat maklumat jelas.


“Kita tidak mahu pemimpin pembangkang meniupkan sentimen perpecahan untuk mencetuskan perbalahan sesama Islam, kita berpolitik, tak ada masalah berpolitik, tapi jangan guna sentimen agama,” katanya.