• Abdul Hadi Awang Datuk Seri Abdul Hadi Awang
1 / 1
SHAH ALAM - Selepas usul untuk kawasan banjir terutama Pahang diletakkan dalam kawasan darurat ditolak Dewan Rakyat, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menyarankan kerajaan mengisytiharkan kawasan yang dilanda banjir sebagai 'kawasan bencana'.
 
Menurutnya, pengisytiharan itu penting kerana ia membolehkan proses menyelamat nyawa penduduk dan penghantaran bekalan  dapat dilakukan dengan segera.
 
"Pas menyeru kepada pihak kerajaan agar dapat mengisytiharkan kawasan di Kuantan, Pahang dan daerah Kemaman, Terengganu sekarang ini sebagai 'kawasan bencana' akibat dari dilanda banjir yang terburuk dalam sejarah negeri berkenaan.
 
"Pengisytiharan sebagai kawasan bencana ini adalah perlu kerana bantuan dapat dilakukan dengan kadar yang sangat segera tanpa kerenah birokrasi, dan bencana banjir ini diangkat sebagai perkara-perkara yang sangat perlu disegerakan penyelesaiannya di peringkat nasional," katanya dalam satu kenyataan media.
 
Tambahnya, bencana yang berlaku tidak mengenal parti politik dan menggesa kerajaan supaya bertindak lebih proaktif.
 
Isnin lalu, Dewan Rakyat telah menolak usul bagi membincangkan dakwaan kebocoran kertas soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 dan mengisytihar darurat bandar Kuantan, Pahang berikutan banjir yang teruk melanda kawasan itu.
 
 Usul itu dikemukakan oleh Wong Tien Fatt (DAP-Sandakan) dan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) selepas selesai sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat.
 
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, usul itu tidak perlu dibahas dan ditolak mengikut Peraturan 18 (2) kerana beliau difahamkan Kementerian Pendidikan telah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat berkaitan aduan kebocoran itu.
 
"Mengenai usul banjir, perkara mengenainya telah dibangkitkan dan kalau ada menteri yang bertanggungjawab mengenai banjir, saya boleh jemput untuk memberi respons kerana setahu saya setiap daerah, negeri mempunyai Jawatankuasa Bencana Alam.
 
 "... dan oleh kerana perkara yang dibangkitkan (wakil rakyat) Kuantan adalah isu serius, maka bolehlah Yang Berhormat menteri memberi respons mengenai perkara ini," katanya.
 
Dalam pada itu, Abdul Hadi yang juga ahli Parlimen Marang itu turut melahirkan rasa sedih melihat keadaan mangsa banjir yang serba kekurangan.
 
"Hati saya sungguh tersentuh melihat anak-anak kecil yang menangis kelaparan, ibu yang memandang dengan hampa, mangsa yang menggigil kesejukan tanpa pakaian dan selimut dan sebagainya.
 
"Pihak Pas menerusi berbagai jenteranya telah dikerah untuk membantu dengan sepenuh tenaga, walaupun berdepan dengan berbagai kekurangan," katanya.