• Abu Bakar Abdullah Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Abu Bakar Abdullah
1 / 1
KUALA TERENGGANU – “Pas hanya menerima mereka yang berfahaman dengan Ahli Sunah Wal Jammah dan jika mereka tidak berfahaman dengan pegangan tersebut, mereka tidak layak menjadi ahli Pas.”

Demikian menurut Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Abu Bakar Abdullah berdasarkan perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Pas.

Mengulas dakwaan Syiah terhadap Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, beliau berkata, jika benar Mohamad berfahaman sedemikian, sudah tentu beliau tidak diterima dalam parti apatah lagi sebagai pimpinan.

“Bagi saya, kita tidak terima orang yang berfahaman Syiah sama ada pimpinan atau ahli,” katanya.

Bagaimanapun, berikutan pendedahan berhubung isu itu katanya, Mohamad wajar diberi peluang membuktikan bahawa beliau bukan berfahaman Syiah sebagaimana didakwa.

Beliau berkata, apabila persoalan timbul sama ada Mohamad berfahaman Syiah atau sebaliknya, pemimpin kedua tertinggi Pas itu boleh memberi keterangan dan berhak mendapat pembelaan dari sudut undang-undang.

Bagaimanapun beliau berkata, jika isu Mohamad berfahaman Syiah timbul berikutan kekaguman beliau terhadap pemimpin Syiah, Abu Bakar menganggap ia belum cukup kuat membuktikan pembabitan Mohamad sebagai penganut fahaman tersebut.

“Kita tidak boleh tuduh kalau orang itu pergi ke Iran, dia adalah Syiah. Lagipun Malaysia ada hubungan diplomatik dengan Iran. Apakah apabila ada jemputan dari Tehran, orang menyertainya dianggap Syiah.

“Sebagai negara Islam, sudah tentu ada wakil umat Islam untuk satukan seluruh umat Islam. Jadi, tidak boleh tuduh mereka yang menyertai ijtimak tersebut sebagai Syiah,” katanya.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini mendedahkan 10 bukti berhubung pemimpin nombor dua Pas itu cenderung berfahaman Syiah antaranya Mohamad pernah dilihat menunaikan solat menggunakan satu batu kecil leper di tempat sujudnya, mengucapkan selawat sebagaimana diamalkan penganut Syiah dan turut menyatakan kekaguman terhadap kepimpinan Khomeini.

Abu Bakar menjelaskan, sepanjang mengenali Mohamad, tidak pernah beliau melihat Mohamad sebagai seorang yang berfahaman sebagaimana didakwa.

Sementara itu, Abu Bakar juga turut melahirkan perasaan hairan dengan pemimpin Umno yang dilihat beria-ia menimbulkan isu terbabit.

Beliau berkata, Umno sendiri perlu melihat dari sudut dalaman parti itu yang dianggap sebagai kebangsaan dan juga sekular.

“Umno sendiri tidak lari daripada bersikap kebangsaan dan sekular yang dilarang oleh Islam walaupun mereka mengakui penganut Ahli Sunnah Wal Jemaah. Jadi, Umno perlu melihat kepada parti sendiri, jangan tuduh parti lain,” katanya.