• Mokhtar Shafie Mokhtar Shafie
1 / 1
BANGI - Umat Islam di negara ini diingatkan supaya lebih berhati-hati dan memahami pengertian sebenar pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) bagi mengelakkan kekeliruan yang cuba menyongsangkan akidah sebenar.

Ahli Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mokhtar Shafie berkata, cubaan tersebut yang dikesan sejak 50-an itu hanya menyebut Ahli Sunnah sahaja sedangkan ia membawa pengertian yang berbeza dari segi amalan dan akidah itu sendiri.

"ASWJ boleh dilihat dalam dua keadaan, iaitu dari segi aliran pemahaman akidah di mana penganutnya beramal dengan apa yang diajarkan terus oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda, merangkumi aspek ilmu, amal, akhlak dan kehidupannya.

"Namun pengikut Ahli Sunnah pula adalah satu aliran pemahaman yang mengutamakan amalan Nabi dan meninggalkan tegahan baginda," katanya kepada pemberita selepas wacana Pemantapan Akidah: Mendepani Ancaman Kristianiasi, Liberalisme & Syiah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Kuis), di sini, hari ini.

Sementara itu, memetik kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, ASWJ mempunyai dua sudut pengertian iaitu membawa makna jalan (attariqah) dan merujuk kepada al-Hadis.

"Attariqah itu adalah golongan Ahli Sunnah mengikut jalan atau pun para sahabat dan tabi'in dalam menerima ayat-ayat mutashabihat yang terdapat dalam al-Quran dalam menyerahkan pengertian ayat-ayat tersebut kepada ilmu ALLAH.

"Merujuk kepada al-Hadis, bahawa golongan Ahli Sunnah beriman dan meyakini hadis sahih tanpa terlibat jauh membuat takwil terhadap hadis seperti mana yang dilakukan oleh golongan Mu'tazilah," katanya dipetik.

Selain itu, istilah Al-Sunnah juga merujuk jalan yang diikuti oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda, melibatkan segala aspek kehidupan yang kesemuanya bersih dari unsur subahat dan syahwat.

Tambahnya, perkataan Al-Jammaah pula bermaksud dari segi bahasa membawa maksud kesatuan manakala lawannya adalah berpuak.

Dari segi istilah pula, Al-Jamaah merujuk kepada kumpulan para sahabat atau ahli ilmu atau ahli ijma' atau al-sawad al-azam yang mengikuti segala yang disepakati.

"Ia juga diikuti oleh golongan ahli al-Junuah yang melibatkan peninggalan segala bentuk bid'ah dan pematuhan terhadap segala suruhan Rasulullah SAW," katanya lagi.