• Datuk Seri Mohd Shafie Apdal Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
1 / 1
KUALA LUMPUR - Kubu kuat Umno adalah sokongan rakyat luar bandar di mana undi mereka yang tinggi berbanding pengundi bandar membolehkan Umno terus memerintah negara.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Umno disaran tidak lupa dan alpa akan hal tersebut.

Menurutnya, pembelaan pada agama, hak orang Melayu dan Bumiputera banyak ada di luar bandar.

"Kita memang menang peringkat bandar tetapi mejoriti menang bezanya tidak jauh.

"Kalau di kampung jumlah mejoriti memilih Umno lebih tinggi justeru membolehkan parti terus memerintah. Maka jangan sesekali pinggirkan rakyat desa," katanya dalam ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Umno 2013, hari ini.

Sebagai tanda untuk hargai rakyat luar bandar itu, beliau mencadangkan Jawankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terus diperkasakan agar dapat memimpin kawasan setempat.

"Kita perlukan pemimpin peringkat kampung untuk membela nasib masyarakat desa justeru saya gesa semua kerajaan negeri perkasakan JKKK ini terutama kepada belia dan wanita di kawasan tersebut," katanya.

Pada masa yang sama, beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengumumkan penangguhan pembayaran Pinjaman Ekonomi Desa mulai 1 Januari 2014 kepada mereka yang terbabit dengan bencana banjir.

"Ini termasuk golongan pinjaman yang diberikan oleh agensi di bawah kementerian untuk meringankan beban rakan dan rakyat kita yang dilanda banjir," katanya.