11/12/13
Khir Toyo mohon maaf
KUALA LUMPUR - Kes saman fitnah RM30 juta
yang difailkan anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim terhadap
bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo selesai selepas Dr
Mohamad Khir mengemukakan permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah
Tinggi di sini.
Hakim Siti Khadijah S.Hassan Badjenid merekodkan penyelesaian itu
selepas Dr Mohamad Khir, yang diwakili peguam M.Athimulan, membacakan
permohonan maaf itu.
Dr Mohamad Khir ketika membacakan permohonan maaf itu berkata:"Saya,
Mohamad Khir, defendan pertama dalam kes saman ini, tanpa pengakuan
liabiti, memohon maaf kepada Teresa kerana menyiarkan penerbitan dalam
blog saya www.drkhir.com pada 9 Julai 2008 seperti yang dinyatakan dalam
pernyataan tuntutan. Saya kesal menyiarkan artikel itu dan bersetuju
untuk membayar kos".
Terdahulu, peguam S.N. Nair, yang mewakili Kok memaklumkan kepada
mahkamah bahawa anak guamnya itu bersetuju untuk tidak meneruskan
samannya terhadap Dr Mohamad Khir.
Mahkamah juga membenarkan saman itu tidak diteruskan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula saman baharu.
Pada 23 Disember 2008, Kok memfailkan saman terhadap Dr Mohamad Khir dan
Utusan Melayu (M) Berhad berhubung isu laungan azan di Masjid Kinrara
di sini, yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 8 September
2008.
Dalam pernyataan tuntutannya, Kok mendakwa pada 26 Jun 2008, Dr Mohamad
Khir telah memetik sebuah blog dan membuat tuduhan salah terhadapnya
manakala Utusan Melayu telah menerbitkan kata-kata Dr Mohamad Khir
berhubung perkara itu dalam akhbarnya yang bertajuk "Ada usaha larang
azan di masjid Selangor".
Kok mendakwa tuduhan kedua-dua defendan adalah tidak berasas, berniat
jahat dan membawa maksud bahawa plaintif bersifat perkauman, seorang
ahli politik yang anti-Islam dan tidak bertoleransi.
Bagaimanapun, kes saman terhadap Utusan Melayu selesai apabila Kok menarik balik saman itu pada 27 November lepas. - Bernama


0 orang berkata:
Post a Comment