• Khalid Abu Bakar Khalid Abu Bakar
1 / 1
KOTA KINABALU - Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya akan mendapatkan penjelasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung laporan kononnya 60 anggota dan pegawai polis sedang disiasat kerana terlibat rasuah dan pengubahan wang haram.

Katanya setakat ini beliau belum menerima sebarang laporan daripada SPRM berhubung penglibatan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkenaan, seperti dilaporkan portal berita The Malaysian Insider.

"Saya tidak tahu dari mana The Malaysian Insider mendapat maklumat tetapi kami tidak dimaklumkan oleh SPRM sebarang siasatan terkini terhadap pegawai-pegawai kami. Jadi saya akan menulis kepada SPRM untuk mengetahuinya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah Pingat Kedaulatan Negara di sini hari ini.

Khalid mengulas laporan The Malaysian Insider semalam yang mendakwa siasatan enam bulan oleh SPRM mendapati seorang daripada pegawai polis yang disiasat mempunyai RM20 juta simpanan di dalam pelbagai  akaun bank.

Pada majlis itu, 55 anggota dan pegawai PDRM dari Sabah dan seorang dari Sarawak menerima pingat itu. Allahyarham Sarjan Mejar Baharin Hamit yang terkorban semasa bertempur dengan pengganas di Kampung Simunul, Semporna pada 1 Mac tahun lalu, antara penerima pingat itu diwakili balunya Sumiati Suara.

Mengenai penganugerahan pingat berkenaan, Khalid berkata ia merupakan satu daripada penghargaan daripada kerajaan dan PDRM kepada pegawai dan anggota yang telah  menyumbang bakti kepada pasukan dan negara semasa Ops Daulat di Lahad Datu dan Semporna.

Mengenai perkembangan kes pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang, Ahmad Raffli Abdul Malek, beliau berkata seorang lagi suspek masih dalam buruan polis dan siasatan setakat ini mendapati tiga rakan suspek yang telah ditahan merupakan penyokong tegar ketua ajaran sesat "Tuhan Harun".

"Kita dah bagi peluang untuk menyerah diri. Tapi mereka ingat mereka boleh lari. Kita tengoklah sampai mana dia boleh lari," katanya. - Bernama