• Ahmad Yakob Ahmad Yakob
1 / 1
KOTA BHARU - Selepas didakwa tidak serius dalam isu tuntutan royalti minyak, Kerajaan Negeri Kelantan hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa pentadbirannya tidak pernah mengubah polisi mengenai tuntuan itu sejak pentabiran bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya sentiasa serius terhadap tuntutan royalti minyak yang diyakini menjadi hak milik rakyat Kelantan sebagai sebuah negeri yang bernaung di bawah Persekutuan Malaysia.

Beliau berkata, ketika mengadakan pertemuan pimpinan kerajaan Kelantan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 November lalu, agenda tuntutan royalti antara perkara utama yang dibangkitkan Kelantan.

”Saya menyerahkan sendiri surat daripada kerajaan negeri Kelantan memohon agar Perdana Menteri memandang serius isu tuntutan royalti minyak yang sudah berlarutan sehingga hampir lima tahun.

“Saya nyatakan bahawa rakyat Kelantan berhak ke atas setiap titik minyak yang dikeluarkan dari bumi Kelantan sendiri berasaskan perjanjian yang dimeterai di antara Petronas dan kerajaan negeri pada tahun 1975,” katanya, hari ini.

Sebelum ini beberapa pihak termasuk aktivis tuntutun royalti dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan pentabiran kerajaan Kelantan yang disifatkan tidak agresif seperti mana dibawah pentadbiran Nik Aziz.

Mengulas mengenai status tindakan mahkamah, Ahmad berkata, proses perbicaraan sedang berjalan  dan peguam kerajaan negeri antara lain di dalam proses untuk mendapatkan dokumen daripada Petronas yang mempunyai lebih seribu muka surat.

“Pihak peguam juga memaklumkan bahawa tarikh perbicaraan sedang ditunggu untuk ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan dalam masa yang terdekat.

“Tidak berbangkit isu bahawa Kelantan sedang menimbangkan untuk menarik balik saman yang telah difailkan,” katanya lagi.

Berhubung isu Jawatankuasa Khas berhubung pembayaran royalti minyak untuk Kelantan,katanya, kerajaan negeri sebelum ini telah bersetuju untuk melantik Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-Iz Petra untuk mewakili kerajaan negeri Kelantan dalam perundingan tuntutan tersebut.

Katanya, baginda telah beberapa kali menyertai perundingan dan kerajaan negeri dimaklumkan bahawa rundingan tersebut sedang berjalan di mana setiap negeri yang mempunyai hasil minyak di Malaysia turut menghantar wakil masing-masing.

“Tuntutan royalti minyak yang menjadi hak milik rakyat Kelantan ini terus diperjuangkan oleh kerajaan negeri Kelantan melalui pelbagai usaha.

“Apa yang penting ialah, sokongan rakyat Kelantan sendiri terhadap usaha-usaha kerajaan dan juga mana-mana badan bukan kerajaan bagi memastikan tuntutan ini mencapai matlamatnya demi kebaikan seluruh rakyat negeri Kelantan Darul Naim,” katanya.