• Rafizi Rafizi
1 / 1
PUTRAJAYA - PKR menyerahkan memorandum bukti yang didakwa melibatkan penyelewengan adik kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berhubung pembayaran balak yang melibatkan kerajaan Jepun, hari ini.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, pihaknya menyerahkan bukti keterlibatan ahli perniagaan itu dalam kes rasuah import balak ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Rafizi turut ditemani Adun Batu Lintang, Sarawak, See Chee How hadir ke bangunan SPRM di Putrajaya kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

"Kes yang kita bawa ke SPRM hari ini adalah kes yg telah dibuka dan disiasat sebelum ini, berkaitan pembayaran rasuah kepada syarikat yang dimiliki oleh adik kepada Ketua Menteri Sarawak iaitu Onn Mahmud.

"Onn Mahmud memang secara jelas mempunyai pengaruh yang besar dalam kerajaan walaupun tidak ada apa-apa jawatan sehingga syarikatnya boleh menuntut bayaran yang tinggi terhadap syarikat-syarikat yang telah diberikan hak untuk mengimport balak dari Sarawak ke Jepun," katanya kepada pemberita selepas hampir 20 minit bertemu pegawai SPRM, di sini.

Rafizi menyarankan SPRM agar menjalankan siasatan menyeluruh bagi setiap ahli keluarga Abdul Taib.

"Bagaimana mereka yang tidak ada jawatan dalam kerajaan begitu berpengaruh?

"Ini mesej yang cukup penting kepada SPRM dan juga Abdul Taib serta keluarga," dakwanya lagi.

Menurut See Chee How, kes tersebut perlu disiasat lebih lanjut oleh SPRM bagi menjelaskan perkara berkenaan.

"Kes ini berlaku sekitar 2007-2008. Ada keputusan daripada tribunal cukai yang mengatakan bahawa bayaran itu adalah sah...ditolak cukai. Jadi, kami lihat kes itu secara mendalam.

"Kami dah dapat semua dokumen termasuk keputusan tribunal cukai. Sekarang kami dah tahu bagaimana wang ini dikutip oleh syarikat tersebut," katanya yang pergi ke Jepun untuk bertemu pihak berkaitan kes tersebut.

Tambahnya, SPRM boleh mendapatkan dokumen penuh dari negara-negara terlibat termasuk Jepun, Kanada dan Amerika Syarikat.

"Jadi, bagaimana mereka mendapat kuasa tersebut saya rasa sudah tentu SPRM kena siasat lebih lanjut soal ini.

"SPRM boleh dapatkan dokumen penuh dari Jepun, malah dari Kanada dan California," katanya.

Jelasnya, dokumen-dokumen tersebut tidak hanya tertumpu kepada seorang ahli keluarga Abdul Taib sahaja.

Dalam pada itu, PKR turut bakal menyerahkan laporan bukti tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini.