• Sedia siasat wanita hina ALLAH  
  • Mohd Bakri bercakap pada sidang media yang turut dihadiri Hanif (kanan) dan Mohd Mokhtar (kiri). - Foto Sinar Harian
1 / 1
MUAR – Belum ada sebarang tindakan ke atas seorang wanita Melayu dari pantai timur yang didakwa mempersoalkan kuasa ALLAH di laman sosial Facebook dengan profil 'Murtad Pantai Timur'.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mohd Bakri Mohd Zinin berkata setakat semalam, tiada sebarang aduan berkaitan penama itu dibuat dan sekiranya terdapat aduan dilakukan, kes berkenaan di bawah bidang kuasa pihaknya sekali gus satu siasatan akan dimulakan kerana perbuatan tersebut boleh menjejas keharmonian antara kaum di negara ini.


“Kita percaya wanita berkenaan kini berada di luar negara. Malaysia mempunyai agensi yang boleh menjalankan siasatan perkara-perkara yang berkaitan dengan agama dan biarlah agensi berkenaan menjalankan penyiasatan.


“Jika siasatan mendapati ia di bawah bidang kuasa polis, tindakan akan kita diambil,” katanya di Majlis Perhimpunan Pesara Polis Sempena Memperingati Tarikh Serangan Balai Polis Bukit Kepong, di Muzium Polis Bukit Kepong, dekat sini, semalam.


Turut hadir bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.


Beliau mengulas perbuatan wanita itu yang berbuat demikian di laman sosial sejak seminggu lalu sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai terutama penganut agama Islam, dalam masa sama beliau turut mengingatkan semua pihak menghindarkan diri daripada membincangkan isu-isu agama dan perkauman secara melampau kerana ia boleh menjejas keharmonian kaum serta memporak-perandakan negara.


Sementara itu, Hanif membidas tindakan pihak bukan Islam yang mempersoalkan sesuatu keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan disifatkannya sebagai sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.


Beliau bimbang jika perbuatan itu dibiarkan berlaku, ia akan menjadikan kaum-kaum di negara ini berpecah belah dan matlamat menjadikan ia sebuah negara maju yang kukuh akan terjejas.


“Kalau tidak mempunyai pengetahuan mengenai agama Islam, mengapa buat komen pasal Islam? Kalau ini dibiarkan, ia boleh menyebabkan kita pecah belah. Negara kita belum cukup kukuh, itu patut menjadi matlamat kita sebagai bangsa Malaysia.


“Dahulu kalau Ulama mengeluarkan fatwa, bangsa lain tak sentuh kerana itu adalah fatwa untuk orang Islam. Jadi mengapa pula ada orang bukan Islam nak komen pasal agama Islam,” katanya.