• Datuk Saifuddin Nasution Ismail Datuk Saifuddin Nasution Ismail
1 / 2
SHAH ALAM - PKR menyatakan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk meneliti isu saman yang dikemukan oleh Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali terhadap akhbar Suara Keadilan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution berkata, jawatankuasa itu terdiri daripada lima ahli dan diketuai Ketua Penerangan parti itu, Dr Muhammad Nur Manuty.

Menurutnya, jawatankuasa tersebut berperanan meneliti dan memberi laporan kepada pimpinan pusat terhadap kes saman tersebut.

"Kita telah tubuhkan jawatankuasa, yang bertugas untuk menyiasat perkara itu selain mendapatkan maklumat latar belakang berhubung perkara tersebut.

"Dr Muhammad yang akan ketuai, kita juga telah meminta penjelasan daripada Suara Keadilan," katanya pada sidang media, di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Suara Keadilan yang juga akhbar rasmi PKR diarahkan parti itu memberi penjelasan berhubung penyiaran artikel kolumnis, Hishamudin Rais bertajuk "Khalid dan Azmin" kerana dikatakan memfitnah Azmin.

Dalam pada itu,  apabila ditanya adakah pemimpin kanan parti telah menghantar notis saman terhadap Suara Keadilan, Saifuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Machang itu menyatakan tidak mengetahui perkara tersebut.

"Saya tidak tahu, tak tengok pun ada atau tidak surat saman itu," katanya.