• mahkamah
1 / 1
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa perbelanjaan pembantu rumah warga Indonesia, Nirmala Bonat sepanjang berada di Kedutaan Indonesia di sini selama 44 bulan adalah berjumlah RM24,048.

Kerani di kedutaan itu, Galuh Indriyati dalam pernyataan saksinya berkata jumlah perbelanjaan itu bermula dari Mei 2004 sehingga Januari 2008.
"Ia merangkumi pembiayaan untuk makan minum, tempat tinggal, keperluan asas serta pembiayaan kaunseling dan pemeriksaan kesihatan," katanya dalam perbicaraan hari keempat kes saman yang difailkan Nirmala terhadap majikannya Yim Pek Ha dan suaminya, Hii Ik Tiing kerana mendera dan mencederakan Nirmala dengan seterika dan air panas.

aluh berkata pihak kedutaan turut membiayai perbelanjaan Nirmala untuk menghadiri kes saman sivilnya di mahkamah.    

Galuh turut memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai bukti resit perbelanjaan Nirmala pada masa ini (sekarang) kerana kesemua resit tersebut dilupuskan selepas tempoh lima tahun.

"Resit perbelanjaan setiap tahun sudah dimasukkan dalam rekod perbelanjaan kedutaan, setelah lebih lima tahun ia sudah dimusnahkan," katanya.

Pada 28 Jan 2010, Nirmala memfailkan saman terhadap Yim, 46, dan Hii, 48, selepas mendakwa didera dan dicederakan beberapa kali oleh Yim, antaranya dengan menggunakan seterika panas yang dilekapkan pada badannya pada Januari 2004.

Wanita itu, yang diambil bekerja sebagai pembantu rumah kepada pasangan terbabit yang tinggal di Villa Putera, Jalan Tun Dr Ismail di sini pada September 2003, mendakwa Hii pula telah gagal menghalang isterinya daripada mencederakannya serta gagal memberikannya rawatan perubatan sewajarnya.

Nirmala menuntut ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan yang dialaminya serta ganti rugi khas lebih RM40,000 bagi kehilangan pendapatan, perbelanjaan perubatan dan perbelanjaan lain yang akan ditaksirkan oleh mahkamah.

Pada 1 Okt 2012, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhi hukuman penjara 12 tahun terhadap Yim, yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan mencederakan Nirmala.

Perbicaraan di hadapan Hakim Siti Khadijah S.Hassan Badjenid bersambung esok. - Bernama