21/05/14
BN menyalahgunakan premis awam di Telok Intan
TELUK INTAN: Pemuda PAS Malaysia hari
ini membuat laporan polis berhubung tindakan BN menyalahgunakan premis
awam bagi tujuan berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan.
Ini ekoran ceramah politik yang
dijadualkan berlangsung di Sekolah Kebangsaan Kampung Selabak
membariskan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan, Adun Kok Lanas,
Datuk Alwi Ahmad dan Exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari Yahya.
Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS
Malaysia, Mohd Sany Hamzan berkata, tindakan BN menggunakan sekolah
sebagai lokasi kempen adalah bersalahan dengan Akta Kesalahan Pilihan
Raya 1954, Seksyen 24 b (7) yang melarang penggunaan premis awam untuk
kempen pilihan raya.
"Saya mewakili Pemuda PAS melahirkan
rasa dukacita dengan tindakan BN menyalahgunakan premis awam bagi tujuan
politik kepartian dalam tempoh berkempen ini.
"Ianya juga telah melanggar etika
pentadbiran kerajaan yang telus dan amanah berikutan membenarkan
penggunaan sebuah premis milik kerajaan di bawah Jabatan Pendidikan
Negeri," katanya ketika ditemui Harakahdaily sebelum membuat laporan
polis di Ibu Pejabat Polis Hilir Perak, Teluk Intan.
Hadir sama Naib Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Ahmad Khairie Jamaluddin dan pimpinan Pemuda PAS Teluk Intan.
Beliau menggesa pihak polis mengambil
tindakan sewajarnya dengan merujuk kepada akta kesalahan pilihan raya
yang jelas tidak membenarkan tindakan BN itu.
Sany menjelaskan, jika BN dibenarkan
menggunakan premis awam untuk berkempen, PAS menuntut agar keadilan
diberikan dengan membenarkan juga pihak DAP untuk turut berbuat
demikian.
"Masuklah pilihan raya dengan padang
yang sama rata, janganlah menyalahgunakan kuasa dalam persaingan
demokrasi," tegasnya lagi. - Harakahdaily


0 orang berkata:
Post a Comment