Ahmad Shabery mohon maaf RTM tiada siaran langsung Piala Thomas
24/05/2014 1:17pm
KOTA KINABALU - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad
Shabery Cheek berkata, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak menyiarkan
siaran langsung pasukan Piala Thomas negara menumpaskan Indonesia malam
tadi kerana hak penyiaran diperoleh syarikat televisyen swasta.
Beliau berkata, RTM juga tidak akan menyiarkan siaran langsung
perlawanan akhir Piala Thomas antara pasukan negara dan Jepun esok
kerana kos untuk siaran langsung melibatkan kos tinggi.
"Saya meminta maaf bagi pihak RTM kerana ramai pihak bersungut kerana
tiada siaran langsung (di RTM malam tadi). Ini kerana hak penyiaran
telah diambil stesen televisyen swasta.
"Kalau ingin (menyiarkan) kita (RTM) kena membayar mahal dan dalam
soal ini, kita ada keperluan lain termasuk liputan siaran langsung
semasa kejohanan Piala Dunia Brazil dan kos kandungan untuk sukan bukan
murah, ia melibatkan berjuta-juta ringgit.
"Pada tawaran asal kos bernilai RM4 juta untuk menyiarkan (secara
langsung) perlawanan itu (Piala Thomas),” katanya kepada pemberita
selepas merasmikan sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat
Berinformasi Sedunia (WTISD) 2014 di Lintasan Deasoka, di sini hari
ini.
Ahmad Shabery berkata, RTM memperoleh hak siaran eksklusif Kejohanan
Bola Sepak Piala Dunia FIFA 2014 yang akan berlangsung di Brazil mulai
12 Jun hingga 13 Julai ini.
Malaysia layak ke perlawanan akhir Piala Thomas 2014 selepas mengalahkan Indonesia 3-0 di New Delhi, India, malam tadi.
Esok, Malaysia akan bertemu Jepun yang melakar sejarah dalam siri Piala Thomas apabila julung kali melangkah ke final. - Bernama


0 orang berkata:
Post a Comment