• PRK
1 / 2
GEORGETOWN - Kempen pada PRK Parlimen Bukit Gelugor mungkin merupakan yang paling membosankan selepas berlangsungnya PRU13 berikutan ketiadaan BN dalam pertandingan empat penjuru itu.
      
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, PRK Parlimen Bukit Gelugor ini kurang mengujakan.
      
"Ini (PRK Bukit Gelugor) mungkin merupakan pilihan raya paling membosankan selepas berlangsungnya PRU memandangkan kita tidak nampak sebarang pertarungan antara dua parti politik utama.
      
"Tanpa BN selaku parti yang dikenali umum, kita tidak melihat kempen yang sengit dari segi jentera dan sumber manusia berbanding calon bebas," katanya.
      
Dr Sivamurugan yang juga Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, senario PRK Bukit Gelugor hampir sama dengan PRK Dun kawasan Penanti di Pulau Pinang pada 31 Mei, 2009 apabila BN tidak bertanding.
      
PRK Bukit Gelugor akan diadakan pada 25 Mei ini berikutan kematian penyandangnya, Karpal Singh daripada DAP berikutan kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Gua Tempurung di Kampar, Perak, pada 17 April.
      
Karpal yang juga bekas Pengerusi DAP, memenangi kerusi itu dalam PRU13 dengan majoriti 42,706 undi, mengalahkan calon BN Teh Beng Yeam, yang meraih 13,597 undi.
      
Ditanya sama ada DAP akan memperoleh undi simpati, Dr Sivamurugan menambah, undi simpati mungkin diberi kepada calon DAP, Ramkarpal Singh, yang juga anak lelaki ketiga Karpal.
      
"Sudah tentulah ada undi simpati sebagai tanda menghormati sumbangan mendiang Karpal. Oleh itu, calon terbabit mesti membuktikan pencalonannya bukan berdasarkan nepotisme, sebaliknya bersandarkan kepada kewibawaan dan keupayaannya sendiri untuk mengekalkan majoriti," katanya.
      
Dr Sivamurugan berkata, di atas kertas, DAP akan memenangi kerusi Parlimen itu dengan mudah kerana sebahagian besarnya disebabkan sentimen parti dan bukannya isu memandangkan Bukit Gelugor adalah kawasan bandar.
      
"PRK ini tidak akan terlalu banyak memberi tumpuan kepada isu pembangunan di Bukit Gelugor kerana kawasan ini sudah dimajukan dan dihuni penduduk dari kelas pertengahan hingga atasan.
      
"Pengundi boleh memohon bagi kesinambungan pembangunan, yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri sebelum ini," katanya, dan menambah pembangunan di Pulau Pinang dilaksanakan oleh kerajaan BN manakala kerajaaan negeri pimpinan DAP sekarang mengekalkannya. - Bernama