• Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
1 / 2
SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memilih untuk berdiam diri dan tidak mahu memberi sebarang ulasan berkenaan pertukaran kerusi jawatan nombor satu di Selangor.

Abdul Khalid berkata, tiada ada isu untuk beliau bahaskan malah tiada ulasan mengenai perkara tersebut.


“Tak  ada isu (tukar Menteri Besar) dan saya tiada apa-apa untuk komen,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian insentif kepada Kontinjen Sukma Selangor 2014, semalam.


Sementara itu, beliau turut menafikan dakwaan bahawa pertemuan antara beliau dengan Perdana Menteri baru-baru ini sebagai tindakan memperkukuhkan kuasanya.


“Tidaklah, sebenarnya Najib (Datuk Seri)  ingin melawat ke negeri Selangor disebabkan beliau sebagai pemimpin negara, kita menjemputnya untuk datang ke Masjid Tengku Ampuan Jemaah iaitu masjid kedua terbesar di negeri Selangor.


“Oleh kerana masjid itu, masjid baru jadi kita ingin meminta Perdana Menteri melawat masjid berkenaan kerana ada signifikannya bagi menunjukkan kepada beliau bahawa masjid berkenaan terbina hasil daripada sumbangan bersama antara kerajaan negeri, Sultan dan kerabat Diraja Selangor, Sime Darby dan juga termasuk penduduk di kawasan Bukit Jelutong,” katanya.


Beliau menjelaskan, oleh sebab Najib hadir ke ibu negeri Shah Alam dan  masjid utama negeri, ada baiknya menteri besar bersama-sama dengannya.


“Tujuan kita juga adalah menghormati kehadiran PM dan saya dapat pahala kerana berjemaah dengan rakan-rakan di sana, tidak ada agenda terselindung seperti didakwa,” katanya.


Dalam pada itu, ketika ditanya khabar angin yang disebarkan mendakwa beliau berhasrat menyertai Pas selepas memuat naik gambarnya bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beliau turut menafikan perkara itu.


“Sebelum malam itu saya bergambar dengan Najib dan selepas itu saya juga bergambar dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kemudian saya bergambar pula dengan Hadi.... jadi kalau berasaskan gambar sahaja dah banyak parti dah saya masuk,” katanya.


Dalam perkembangan berbeza, Abdul Khalid menegaskan kerajaan negeri tidak akan memperbaharui perjanjian konsesi projek pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damasara (Kidex) yang bakal tamat minggu depan selagi sesi pendengaran belum selesai.


“Sebelum proses pendengaran selesai, kita tidak akan perbaharui. Kita tunggu hingga masyarakat di Petaling Jaya memberi respons positif... barulah kita laksanakan projek berkenaan," katanya.