• Rizalman Rizalman
1 / 1
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bekas pembantu staf pertahanan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand yang dituduh melakukan jenayah, masih lagi menerima rawatan di hospital dan tidak akan dihantar ke sana dalam masa terdekat.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin ketika mengesahkan perkara itu berkata anggota itu masih lagi menerima rawatan psikiatrik di sebuah hospital di sini dan hanya akan dihantar apabila keadaannya sesuai.

"Buat masa ini dia masih di hospital," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan bungkusan Hari Raya kepada Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt 850-1) bagi misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unifil) di Lubnan hari ini.

Zulkifeli mengulas kes melibatkan Muhammad Rizalman Ismail, bekas Pembantu Staff Pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, yang didakwa melakukan pecah rumah dan serangan seksual dengan niat merogol.

Muhammad Rizalman, 38, ditahan di New Zealand pada 9 Mei lepas dan dibaw ke mahkamah pada keesokan harinya untuk didakwa.

Rabu lepas, Kerajaan Malaysia memutuskan untuk menghantar Rizalman balik ke New Zealand untuk membantu siasatan kes itu, tetapi tiada tarikh ditetapkan.

Semalam dilaporkan Peguam Negara sedang berurusan dengan pihak berkuasa New Zealand untuk menentukan tarikh penghantaran balik anggota terbabit ke negara berkenaan.

Mengulas saranan sesetengah pihak supaya anggota terbabit diadili di mahkamah tentera dan bukannya mahkamah awam, Zulkifeli berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil kira pandangan pelbagai pihak sebelum sesuatu keputusan diambil.

"Itu adalah pandangan peribadi masing-masing. Permohonan New Zealand (hantar balik anggota) perlu dipertimbang menerusi Kementerian Luar, Kementerian Pertahanan dan Pejabat Peguam Negara," katanya.

Laporan Bernama menyebut, dua bekas Panglima Angkatan Tentera berpendapat kes pertama kali dalam sejarah pertahanan negara ini perlu diadili di mahkamah tentera kerana anggota tersebut bukan orang awam. - Bernama