• Tengku Adnan
1 / 1
SHAH ALAM - Selepas nama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjadi ‘panas’ ekoran kenyataannya mengenai gelandangan yang telah mencetuskan kontroversi, sekali lagi nama beliau menjadi bualan hangat.

Terkini beliau didakwa memberi arahan kepada Dewan Bandar raya Kuala Lumpur (DBKL) supaya mengeluarkan saman kepada pemberi sedekah seandainya 'membantu' pengemis di ibu kota.

Tengku Adnan dilaporkan berkata, peminta sedekah juga akan berdepan hukuman sama seandainya mengemis di tempat tumpuan.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut disangkal oleh beliau dan menurutnya, arahan tersebut merupakan fitnah terhadap dirinya.

“Astagfirullah, sehingga saat ini tiada satu saman yang di keluarkan DBKL. Inilah fitnah dan pembohongan yang dilemparkan terhadap diri saya,” tulisnya di laman mikro Twitter miliknya.

Kenyataan ini timbul selepas tersebarnya satu berita yang mengatakan bahawa 124 saman telah dikeluarkan oleh DBKL petang semalam di Masjid Jamek Kampung Baru.

Laporan itu memetik sebagai berkata Pengarah Penguatkuasa DBKL telah mengeluarkan, 21 saman ke atas petugas masjid atas dakwaan memberi sedekah dan selebihnya kepada penerima bubur yang sedang beratur.

"Sepatutnya kami saman semua. Tapi kertas hanya ada 124 helai. Kami akan datang lagi esok." kenyataan itu dipetik.

Sementara menulis mengenai perihal rumahnya yang dikatakan terbakar, Ku Nan menjelaskan, rumahnya masih ‘elok’ dan gambar yang tersebar di media sosial yang mengatakan bahawa rumahnya terbakar adalah gambar pada tahun 2011.

“Mana ada rumah saya terbakar. Ya ALLAH.... Satu lagi fitnah,  kenapa suka fitnah saya? Ramai yang telefon saya.

“Saya terkejut. Baru pulang dari Kota Bharu,” tulisnya lagi.

Pada 9 Mei 2011  tingkat atas rumah empat tingkat milik Tengku Adnan di Jalan Duta 5, Taman Duta  pernah mengalami kebakaran dan insiden itu telah memusnahkan keseluruhan tingkat  atas tersebut.