• Abdul Rani Osman
1 / 1
SHAH ALAM – Dakwaan terdapatnya siri komplot menggulingkan pemerintahan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim disifatkan gagal apabila tidak mendapat sokongan majoriti ahli Kelab Penyokong Kerajaan Selangor (BBC) terutamanya dari kalangan Adun Pas bagi menjalankan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Selangor itu.

Bagaimanapun desas-desus yang disebarkan bahawa Adun Pas memboikot sidang Mesyuarat BBC pada Selasa lalu, adalah tidak benar.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad menafikan adanya usaha memboikot mesyuarat tersebut di kalangan Adun Pas.

Menurutnya, beliau turut difahamkan tiada perbincangan undi tidak percaya dan membincangkan kedudukan menteri besar pada mesyuarat itu.

"Lagipun, saya tak menghadiri mesyuarat itu kerana saya merupakan Exco kerajaan negeri," katanya yang juga Adun Chempaka.

Sementara itu, Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman berkata, walaupun hanya dua Adun Pas sahaja hadir mesyuarat berkenaan, ini tidak bermakna 13 yang lain bertindak memboikot mesyuarat yang didakwa membawa usul undi tidak percaya dalam usaha menjatuhkan Abdul Khalid.

“Bukan boikot, masing-masing ada urusan dan program lain. Lagipun ia (mesyuarat BBC) tidak dimaklumkan lebih awal dan diharapkan lebih terancang pada masa akan datang.

“Dua Adun Pas yang hadir itu pun datang lewat kerana kebetulan ada mesyuarat lain di kawasan sekitar. Pemberitahuan tentang pertemuan BBC ini juga bukan semua Adun tahu, sebab itu ramai tidak hadir,” katanya.

Turut memberi reaksi sama, Adun Bangi, Shafie Ngah yang memaklumkan bahawa mesyuarat BBC berkenaan bukanlah sesuatu yang wajib sebaliknya untuk sesiapa yang lapang sahaja.

Kenyataan wakil Pas ini sekali gus menangkis dakwaan bahawa usaha menurunkan Abdul Khalid dari kerusi menteri besar berdepan cabaran apabila ada dalam kalangan wakil rakyat PR yang dikatakan enggan bersubahat dalam gerakan itu.

Strategi yang dikenali sebagai ‘Langkah 28’ itu dikatakan dilancar bagi mendapatkan sekurang-kurangnya 28 daripada 31 ahli BBC yang mewakili PKR, Pas dan DAP.

‘Langkah 28 dikatakan kesinambungan daripada ‘Langkah Kajang’ yang dirancang PKR sebelum ini, bagaimanapun ia gagal menyingkirkan Abdul Khalid.