• Abdul Hadi ketika menyampaikan tazkirah di Masjid Rusila, Marang, semalam. Abdul Hadi ketika menyampaikan tazkirah di Masjid Rusila, Marang, semalam.
1 / 1
SHAH ALAM – Masalah kesihatan yang menimpa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang nampaknya beransur pulih apabila beliau dilihat sudah mampu menyampaikan tazkirah dan ceramah di masjid di Marang, Terengganu, malam tadi.

Abdul Hadi menerusi laman Facebooknya semalam memaklumkan 'keterujaannya' untuk bersama-sama ahli masjid yang lain setelah sekian lama 'direhatkan'.

“Insya-ALLAH malam ini (semalam) saya akan menyampaikan tazkirah ringkas di Masjid Rusila, Marang selepas selesai solat sunat Tarawih.

“Doakan semoga perancangan ini berjalan dengan lancar setelah sekian lama saya 'direhatkan'. Sesungguhnya saya amat rindukan anda semua,” ujarnya.

Hajat bekas Menteri Besar Terengganu itu nampaknya tercapai apabila sebuah pautan video tazkirah beliau di Masjid Rusila, Marang dimuatnaik di laman sosial Facebooknya pagi tadi.

“Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada semua yang hadir, kepada semua muslimin dan muslimat seluruh dunia. Mengambil kesempatan bulan yang mulia ini juga yang besar fadhilatnya, saya memohon ALLAH memberi balasan yang tidak tehingga kepada semua yang telah menunjukkan simpati kepada saya semasa menjalani rawatan di Istanbul.

“Kepada semua parti-parti politik di Malaysia, pertubuhan Islam dan bukan Islam, temasuk gerakan Islam dan pertubuhan Islam dari negara Islam dan bukan Islam yang berdoa dan menghantar sumbangan, termasuk pelajar-pelajar yang miskin dan kaya, semua bersedia untuk menyumbang, semoga ALLAH memberi keberkatan dan hidayah, mudah-mudahan termasuk sebagai amal soleh di sisi ALLAH,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian Online melaporkan Abdul Hadi mengalami masalah kesihatan dan dikejarkan ke hospital di  Istanbul ketika menghadiri Seminar Antarabangsa Esam anjuran Gerakan Islam Turki.

Abdul Hadi dilaporkan mendapat rawatan di hospital berkenaan akibat komplikasi sesak nafas semasa persidangan berlangsung.

Setibanya di tanahair beliau kemudiannya mendapatkan rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN).

Abdul Hadi hanya dibenarkan pulang dua hari lalu dan masih mendapatkan rawatan susulan dari semasa ke semasa.