• Khairul Azizi Alam Khairul Azizi Alam
1 / 1
SHAH ALAM – Hati mana yang tidak pilu apabila sambutan Aidilfitri kali ini tanpa insan tersayang di sisi. Namun itulah hakikat yang terpaksa diterima balu kepada Penolong Editor Sinar Harian Edisi Johor, Rahayu Said.
Bergenang air matanya saat menceritakan hajat Allahyarham Khairul Azizi Alam yang ingin membawa mereka sekeluarga 'shopping' raya awal sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir jam 5.30 pagi, 1 Julai lalu.

“Kami tak pernah buat persediaan awal. Selalunya bulan puasa baru kami buat persiapan raya. Tapi tahun ini, dua minggu sebelum puasa, arwah ada ajak ‘shopping’ raya tapi kami tak sempat pergi..

“Ketika itu kami perlu balik kampung, jadi, memang tak sempat,”  ujar Rahayu kepada Sinar Harian Online ketika ditemui selepas majlis penyerahan bantuan tuntutan Perkeso di Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf), hari ini.

Rahayu, 36, dan empat anaknya, Muhammad Alif Farhan, 11; Muhammad Aqif Faheem, 7; Nurhana Sophea, 4, dan Muhammad Aqil Fareeq, 8 bulan bakal pulang ke kampung Allahyarham di Tangkak, Johor pada hari raya ini.

Menyentuh soal anak-anaknya yang masih kecil, Rahayu berkata, mereka kerap bertanya tentang ayah mereka.

“Anak nombor dua dan nombor tiga memang selalu tanya sebab mereka memang biasa dengan Allahyarham, pagi-pagi.

“Saya cuma cakap, ayah dah meninggal. Tapi mereka memang tak faham lagi,” katanya.

Setelah dua minggu pemergian Allahyarham, Rahayu membuat keputusan untuk menetap di kampungnya di Kuantan, Pahang meskipun terpaksa meninggalkan rumah yang banyak kenangan bersama Allahyarham.

“Sebelum ini, kalau saya sakit arwah ada, dia boleh jaga anak-anak tapi sekarang kalau saya sakit, tiada siapa nak jaga anak-anak saya.

“Jadi, keluarga nasihatkan agar kami balik kampung di Kuantan supaya apabila jadi apa-apa mereka boleh tengokkan,” katanya.

Allahyarham berkhidmat di Karangkraf hampir 10 tahun sebagai wartawan Bacaria, sebelum menjadi wartawan rencana di Sinar Harian.