• ISIL mengisytiharkan pemerintahan khalifah di wilayah Syria dan Iraq. ISIL mengisytiharkan pemerintahan khalifah di wilayah Syria dan Iraq.
1 / 1
BAGHDAD - IRAQ. Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) mengisytiharkan pemerintahan khalifah di wilayah milik Iraq dan Syria menerusi rakaman audio yang disiarkan menerusi laman web mereka.

Kelmarin, jurucakap ISIL, Abu Mohammad al-Adnani memaklumkan, Abu Bakr al-Baghdadi dilantik sebagai pemimpin mereka.

"Majlis Syura telah berbincang mengenai perkara itu dan memutuskan untuk mewujudkan pemerintahan khalifah di kawasan meliputi wilayah Aleppo di utara Syria hingga Diyala di Iraq," katanya.

Menurut Press TV, keputusan itu dibuat selepas ISIL menawan Mosul di wilayah Nineveh dan Tikrit terletak 140 kilometer di barat laut Baghdad.

Sejak beberapa hari lalu, pertempuran tercetus antara tentera kerajaan dan ISIL selepas kumpulan tersebut semakin mara menuju ke ibu negara.

Dalam perkembangan lain, kerajaan Iraq dilaporkan menerima beberapa jet pejuang Sukhoi dari Rusia untuk melancarkan serangan balas terhadap ISIL.

Difahamkan, pembelian itu dibuat di bawah perjanjian bernilai AS$500 juta (RM1.5 bilion) yang ditandatangani oleh Perdana Menteri, Nouri al-Maliki.