• Tinggal kenangan....Mat Noor bersama isterinya yang juga Ketua Pramugari Mas, Madiani Mahadi dan anak bongsu mereka ketika menghadiri majlis perkahwinan adik keduanya Mei lalu. Tinggal kenangan....Mat Noor bersama isterinya yang juga Ketua Pramugari Mas, Madiani Mahadi dan anak bongsu mereka ketika menghadiri majlis perkahwinan adik keduanya Mei lalu.
1 / 1

KLANG - “Selamat hari jadi...
selamat hari jadi....
selamat hari jadi mak tersayang....
selamat hari jadi....

Selamat panjang umur....
dimurahkan rezeki....
disihatkan tubuh badan....
diterima segala amalan....

Selamat hari jadi makkkkk....muahhhhhh!!!!”

Mendengar lagu itu, Amna Mohd Sharif, 65, tidak dapat menahan sebak.

Lagu berdurasi 30 saat itu dinyanyikan sendiri oleh Shaikh Mohd Noor, 44, atau dipanggil Mat Noor, sebelum dihantar melalui aplikasi WhatsApp adik-beradik untuk ditujukan kepada ibunya pada 5 Julai, sembilan hari sebelum hari lahir ibunya. Ketika itu Shaikh Mohd Noor sedang bertugas di awan biru.

Liriknya penuh makna. Menusuk kalbu.

“Lagu itu dihadiahkannya beberapa hari sebelum hari jadi makcik. Setiap kali makcik dengar, hati makcik terusik.

“Mat Noor memang suka menyanyi dan main gitar.

"Tetapi makcik tak sangka lagu ini adalah hadiah terakhir darinya untuk makcik,” katanya sebak ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Taman Chi Liung, Pandamaran, di sini semalam.

Lagu itu lagu kenangan, yang tak mungkin Amna lupakan...

Hati Amna tambah sebak bila mendengar lagu Dendang Perantau nyanyian anak sulung daripada lima beradik itu yang turut dimuat turun melalui WhatsApp.

“Lagu itu ditujukan untuk adik-adiknya, makcik dan walid (bapa) sempena kedatangan Aidilfitri. Dia beritahu mahu sambut raya pertama bersama kami di rumah ini.

“Kebetulan raya kali ini dia dapat cuti beberapa hari. Makcik sudah bersedia untuk masak makanan kegemarannya, ayam masak kicap dan pajeri terung.

"Namun kini semua tinggal kenangan...,” katanya.

Kali terakhir Amna dan keluarga bertemu Mat Noor pada ulang tahun hari jadinya 14 Julai lalu, sebelum Mat Noor terbang ke awan biru.

“Mat Noor sempat berbuka puasa bersama keluarga dan meraikan hari lahir makcik dengan membaca doa. Ketika itu kami sekeluarga pelik melihat gelagatnya, kebiasaannya dia akan makan kurma dan minum air baru dia solat Maghrib.

“Bagaimanapun, pada hari itu, sebaik azan, dia terus mengerjakan solat Maghrib. Bila makcik tegur dia hanya tersenyum,” katanya.

Kehilangan Mat Noor amat dirasai Amna kerana Mat Noor anak yang baik dan menghormati orang tua.

"Apa yang berlaku sekalipun kepada Mat Noor, makcik reda.

“Harapan terlalu tipis. Kami terima segala apa yang ditakdirkan.

"Jauh di sudut hati, makcik gembira dia pergi menghadap Ilahi di bulan mulia dan hari mulia," katanya.