• Abdul Khalid Ibrahim Abdul Khalid Ibrahim
1 / 1
SHAH ALAM - Sekretariat Pakatan Rakyat hari ini menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah membangkitkan soal calon pengganti kedudukan dan jawatan Menteri Besar Selangor yang kini disandang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Penyelaras Sekretariat Pakatan Rakyat, Shabrimi Sidek menyangkal keras laporan beberapa rencana media mengenai dakwaan  sedemikian.

“Isu Menteri Besar Selangor termasuk isu calon pengganti tidak dibincangkan dalam mesyuarat.

“Perkara tersebut telah diserahkan kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat untuk dibincangkan,” katanya menerusi sebuah kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali turut membuat kenyataan yang sama dalam sidang media selepas mesyuarat tersebut berlangsung.

Menurutnya, keputusan akhir mengenai isu Menteri Besar Selangor akan dibincangkan dalam Majlis Presiden.

"Kita mengharapkan sebelum raya akan ada satu mesyuarat Majlis Presiden, dan mungkin salah satu isu yang akan dibincangkan adalah isu MB Selangor," kata Mustafa selepas mesyuarat berlangsung, semalam.

Malah Mustafa menegaskan apa-apa perkara khususnya berhubung kemelut itu mestilah bersama-sama dibincangkan dan diputuskan melalui Majlis Presiden.