• Mesyuarat Majlis Setiausaha PR yang diadakan petang semalam. - Foto ihsan Twitter Fahmi Fadzil Mesyuarat Majlis Setiausaha PR yang diadakan petang semalam. - Foto ihsan Twitter Fahmi Fadzil
1 / 1
SHAH ALAM - Penafian Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa beliau tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor semalam nyata tidak meredakan khabar angin mengenainya yang semakin bertiup kencang.

Pada hari sama satu mesyuarat Majlis Setiausaha PR diadakan di Petaling Jaya, petang semalam bagi membincangkan isu-isu semasa dan kemungkinan besar kedudukan Abdul Khalid turut menjadi perhatian.

Gambar ketika mesyuarat itu berlangsung turut dikongsi di laman media sosial, bagaimanapun cubaan Sinar Harian Online merisik sumber dalaman PKR berkata, maklumat mesyuarat "embargo".

Semalam, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu berkata, perbuatan pihak yang menyebarkan khabar angin kononnya beliau meletakkan jawatan semalam hanya sia-sia belaka.

Abdul Khalid enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan hanya tertawa ketika dikerumuni wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat perancang ekonomi Selangor di Bangunan Darul Ehsan semalam.

Sebelum ini, beberapa pihak secara terbuka menggesa Abdul Khalid supaya berundur daripada jawatan menteri besar termasuk Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Md Akin.

Malah Shamsul turut mengingatkan Abdul Khalid bahawa PKR telah memberi jawatan itu kepadanya dan beliau sepatutnya patuh kepada desakan supaya berundur.

Shamsul juga mendakwa bahawa Majlis Pimpinan PKR, dalam satu mesyuarat pada 15 Januari lalu, telah sepakat mendesak pengunduran Abdul Khalid.

Desakan sama pernah dilontarkan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad selepas Adun Pelabuhan Klang itu gagal menangani kes rampasan Bible berbahasa Melayu dan Iban oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada awal Januari lalu.

Keadaan bertambah buruk apabila kredibiliti Abdul Khalid kian tercabar selepas beliau gagal mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang Kuala Selangor pada pemilihan parti itu.

Rakan-rakan perikatan PR juga mendakwa sikap Abdul Khalid yang kerap kali membelakangkan kepentingan parti sering menimbulkan suasana tidak senang di kalangan pemimpin lain termasuk dalam isu projek Langat 2 dan pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex).