• trofi piala dunia
1 / 2
PERLAWANAN akhir Piala Dunia 2014 bakal menyaksikan kehebatan dua kuasa besar bola sepak dunia iaitu Jerman dan Argentina Ahad ini. Persoalannya sampai bila rakyat Malaysia sekadar menyarung jersi negara lain setiap kali berlangsungnya kejohanan berprestij dunia itu?

Beberapa atlet sukan negara yang beraksi di pentas dunia seperti sukan terjun, hoki dan bina badan berharap skuad bola sepak negara juga mampu beraksi di pentas Piala Dunia satu ketika nanti.


Ratu terjun negara Pandelela Rinong berkata sebagai seorang atlet beliau pasti berbangga sekiranya dapat menyarung jersi kebangsaan dan menyokong pasukan negara ketika menonton perlawanan Piala Dunia.


"Bukan hanya untuk sukan bola sepak tetapi juga untuk sukan lain," katanya ketika dihubungi Bernama.


Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik London 2012 itu berkata mutu sukan bola sepak Malaysia semakin maju berbanding dengan dahulu dengan lahirnya lebih ramai bakat-bakat baharu yang sanggup berjuang dengan baik di padang.

      
"Tidak kira apa jenis sukan sama ada bola sepak ataupun sukan lain, hanya usaha yang gigih dan persembahan yang baik daripada atlet lain akan berikan kejayaan," katanya yang menyokong pasukan Argentina.

Turut berkongsi pandangan yang sama, bekas kapten hoki kebangsaan Azlan Misron berpendapat mutu skuad Harimau Malaya sebenarnya tidak seteruk mana seperti didakwa pengkritik sukan tempatan.


"Kita mempunyai barisan pemain yang berbakat namun untuk pergi jauh seperti layak ke Piala Dunia kita perlu mempunyai pemain yang mantap seperti bermain dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) terlebih dahulu," katanya.


Azlan berkata skuad Harimau Malaya mampu berdiri setanding dengan pasukan yang beraksi dalam EPL sekiranya mereka dapat menguasai teknik 'Simple Play' iaitu teknik yang sama diguna pakai oleh pasukan Jerman dalam cabaran Piala Dunia 2014 kali ini.


"Aplikasi teknik 'Simple Play' sudah lama diguna pakai oleh skuad hoki negara bagi memperkemaskan corak hantaran iaitu dengan teknik hantaran 'one-two' dan 'two-one'.


"Saya fikir teknik tersebut sesuai untuk dipraktikkan dalam sukan bola sepak walaupun sukan hoki berbeza dengan bola sepak," katanya.


Azlan turut meluahkan keyakinan bahawa jurulatih baharu skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh mampu membawa perubahan besar kepada sukan bola sepak negara pada masa hadapan.


Juara berganda bina badan Mr Universe Sazali Samad juga berharap bola sepak negara akan dapat beraksi di pentas Piala Dunia satu hari nanti.


"Sebenarnya saya tidak berapa mengikuti perkembangan bola sepak...tapi sebagai atlet saya hanya boleh beri sokongan dan kekuatan semangat buat semua pemain bola sepak untuk kemajuan bola sepak di Malaysia.

      
"Tidak ada yang mustahil satu hari nanti pasukan Harimau Malaya boleh sampai ke Piala Dunia," katanya yang menyokong pasukan Jerman pada Piala Dunia kali ini.

Mengambil contoh negara-negara Asia seperti Jepun, Korea Selatan dan Iran, Sazali berkata Malaysia perlu lebih bekerja keras seperti negera-negara berkenaan dan mencari formula baharu bagi menjamin kemajuan sukan negara.


Sementara itu, pengkritik sukan negara Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim menuding jari kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang disifatkan sebagai punca kegagalan sukan bola sepak berkembang ke peringkat lebih tinggi iaitu peringkat antarabangsa.


Katanya berkata pentadbiran yang bagus adalah apabila ahli jawatankuasanya merupakan individu yang faham dan pakar dalam sukan bola sepak.


"Tidak guna jika dalam sesebuah organisasi itu ada ramai ahlinya jika mereka sendiri tidak tahu main bola atau tahu pasal peraturan dalam bola sepak. Mereka harus mempunyai latar belakang bola sepak ataupun sekurang-kurangnya pernah bermain bola sepak. 


"Macam mana mereka mahu mengendalikan sebuah pasukan profesional jika tidak faham atau pun hanya tahu perkara asas mengenai bola  sepak," katanya.


Beliau berkata seperti Malaysia, pada era 70-an Brazil turut digeruni oleh pasukan bola sepak lain namun keadaan itu berbeza sekarang.


"Selaku tuan rumah, Brazil dimalukan di halaman sendiri. Ini boleh dikatakan kesilapan dalam pengurusan dan juga pemain itu sendiri. Bagi saya jika pentadbiran cekap dan mahir dalam menguruskan pasukan, perkara sebegini tidak mungkin terjadi," katanya. - Bernama