• Dayana bersama Syefura. Dayana bersama Syefura.
1 / 1
SEREMBAN - Gadis Melayu terbaharu yang menyertai DAP, Syefura Othman, 25, menyifatkan DAP sebagai sebuah parti yang ‘cool’ dan bersifat terbuka,  menyebabkan dia tertarik bersama parti itu.

Menurutnya, dia sesekali tidak menyesal membuat keputusan berkenaan walaupun menerima banyak pandangan negatif daripada pelbagai pihak.

“Saya seronok bersama DAP sebab mereka adalah satu parti yang ‘cool’. Malah, pemimpinnya juga lebih bersifat terbuka dan memberi ruang kepada anak muda terutama wanita untuk terlibat dalam politik.

“Bagi saya, mereka yang menuduh saya sebagai pengkhianat bangsa disebabkan masuk DAP, takut dengan bayang-bayang sendiri,” katanya.

Malah katanya, pandangan serong tentang penglibatannya itu sebenarnya lebih menarik minat kepada lebih ramai anak muda mengikut jejak langkahnya menyertai DAP.

Syefura berkata, ramai rakan-rakannya kini juga mula bertanya tentang DAP sejak penglibatannya bersama parti itu.

“Saya sebenarnya membuka jalan kepada anak muda lain. Bila orang tengok saya ok bersama DAP, walaupun menerima banyak pandangan serong, ia lama kelamaan dapat mengubah persepsi mereka terhadap DAP, " katanya.