• Anwar Ibrahim Anwar Ibrahim
1 / 1
SHAH ALAM - 'Serangan' pemimpin Umno ke atas peguam N Surendran didakwa sebagai usaha jahat untuk mengganggu proses keadilan dalam kes Fitnah II yang kini memasuki fasa rayuan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa sejak Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh pendengaran rayuan kes beliau, Umno melalui bahagian-bahagiannya di seluruh negara telah membuat ratusan laporan polis terhadap peguamnya itu.

"Pimpinan tertinggi Umno seperti Datuk Mukhriz Mahathir telah secara terbuka meminta semua bahagian Umno untuk membuat laporan polis.

"Manakala rencana dalam Utusan Malaysia telah meminta tindakan serta-merta dikenakan ke atas peguam saya, sekali gus ianya satu percubaan langsung untuk menghalang isu konspirasi ini dibangkitkan peguam-peguam saya," katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 28 dan 29 Oktober ini untuk mendengar rayuan Ketua Umum PKR itu terhadap sabitan kes Fitnah II oleh Mahkamah Rayuan.

Serangan ke atas Surendran yang juga Ahli Parlimen Padang Serai berikutan tindakannya sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa kes Fitnah II adalah konspirasi politik terhadap Anwar melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Anwar lagi, peguamnya mempunyai hak dan tugas untuk menyebut tentang dakwaan keterlibatan Najib dalam konspirasi Fitnah II untuk memenjarakan beliau.

"Keterlibatan Najib dalam konspirasi ini merupakan salah satu pembelaan utama saya sewaktu kes ini dibicarakan di Mahkamah Tinggi; dan akan dibangkitkan dengan menyeluruh sewaktu rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 28 dan 29 Oktober ini.

"Dengan mengabaikan kesemua fakta ini, mahkamah rayuan telah mensabitkan saya pada 7 Mac 2014, beberapa hari sebelum bermulanya kempen PRK Kajang.

"Sekarang, Umno sedang bertungkus-lumus untuk menghalang peguam-peguam saya dari menyebut tentang keterlibatan Najib dalam konspirasi ini," dakwanya.


Sehubungan itu, Anwar mendesak Presiden Umno itu supaya berhenti mengganggu proses keadilan termasuk tidak memberi sebarang tekanan kepada peguam dan mahkamah.

Dakwanya jika proses keadilan itu dibenarkan berjalan dengan bebas dan tidak berat sebelah, Anwar yakin beliau akan dibebaskan.