• Rafizi Ramli Rafizi Ramli
1 / 1
KUALA LUMPUR - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mengakui bahawa Pakatan rakyat (PR) sukar mendapatkan persetujuan dari parti lain terutamanya Pas menyebabkan 'Langkah Kajang’ dirancang secara persendirian awal tahun ini.

Oleh kerana itu, kata Rafizi PKR bertindak ‘berani mati’ untuk melancarkan perancangan itu walaupun tanpa kehadiran Pas.

Mengambil satu contoh, Rafizi mendakwa, perkara ini terbukti sepertimana yang berlaku ketika cadangan menamakan nama Perdana Menteri sekiranya PR menang PRU13 yang lalu.

“Sehingga sebulan sebelum PRU13, Pas masih menolak pencalonan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kerajaan PR.

"… pemimpin Pas seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mohamad Sabu, Datuk Dr Haron Din, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Mustafa Ali semuanya berjumpa Anwar.

"Mereka kata mereka hendak menamakan pemimpin Umno, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Perdana Menteri kalau kita menang Putrajaya," katanya di Forum : Krisis Selangor :Pakatan Berpecah? di Dewan Perhimpunan Cina-Kuala Lumpur di sini, malam tadi.


Sementara itu, menyentuh mengenai isu penyingkiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Rafizi berkata, sebab itulah PKR membuat keputusan secara drastik tanpa kehadiran Pas.

"Saya percaya kalau pun kita bincangkan isu ini (penyingkiran Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor) dengan Pas, masalah tidak akan selesai.

"Tengoklah, lepas enam tahun bincang pasal calon perdana menteri pun kita masih tidak berjaya mencapai kata sepakat," katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Sepang (Pas) Mohamed Hanipa Maidin yang turut hadir dalam forum itu melahirkan rasa terkejut dengan pendedahan Rafizi tentang keputusan pimpinan Pas menamakan veteran Umno itu sebagai calon perdana menteri.

"Walaupun saya Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, sesungguhnya saya tidak tahu langsung apa yang diceritakan Rafizi itu.

"Kalau saya tahu, saya sudah bangkang terang-terangan. Saya mahu semua orang tahu, kami dalam Pas hendak membawa satu era politik baharu.

"Kita mesti faham yang rakyat memerhatikan kita, kita tidak boleh bertindak seperti 20 tahun lepas.

"Saya katakan di sini, apa yang Pas lakukan itu tidak beretika dan tidak Islamik," katanya.