Pilih rumah tangga atau politik: Mufti
Harussani Zakaria
SHAH ALAM – Wakil rakyat Pas yang mahu meninggalkan parti itu perlu
membuat pilihan sama ada mahu menyelamatkan rumah tangga mereka atau
meneruskan tugas dalam politik.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, ada satu cara sahaja ketika ini jika mahu menyelamatkan rumah tangga mereka, iaitu meletak jawatan.
“Jika letak jawatan, maka tidak jatuhlah talak pada isteri mereka. Dalam keadaan sebelum ini, mereka dikatakan turut melafazkan taklik dalam sumpah baiah itu.
“Jadi talak itu akan jatuh kalau mereka langgar. Kalau mereka sayangkan dan mahu selamatkan rumah tangga, mereka perlu letak jawatan,” katanya.
Menurutnya, wakil rakyat yang melompat parti perlu segera merujuk hal itu ke mahkamah syariah.
Mengenai kafarah, Harussani berkata, sumpah boleh ditebus dengan kafarah, tetapi baiah dibuat Pas terikat dengan taklik nikah.
“Taklik ini tidak boleh ditarik balik dan ditebus. Yang ditebus ialah sumpah,” katanya.
Terbaru, wakil rakyat Pas, Datuk Kamaruddin Jaffar dari Parlimen Tumpat keluar parti dan menyertai PKR.
Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli menyertai Parti Pekerja Malaysia dinasihatkan merujuk mahkamah syariah bagi mengetahui status perkahwinannya.
Harussani nyata kecewa dengan tindakan Pas untuk melakukan sumpah baiah sehingga membabitkan rumah tangga seseorang individu.


0 orang berkata:
Post a Comment