KOTA BHARU - Penghijrahan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib daripada Pas ke PKR membawa mesej negatif terhadap PKR dan Parti Pekerja Malaysia.

Penganalisis Politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, sewaktu PKR, DAP dan Pas masih bersama dalam Barisan Alternatif, pemimpin DAP khususnya Karpal Singh dan Lim Kit Siang pernah mengamuk dengan PKR kerana mencuri beberapa pemimpin mereka dari Pulau

Pinang iaitu Teoh Teik Huat, Gooi Hock Seng dan Chin Kooi Thoon untuk dijadikan ahli PKR.

“Amukan DAP adalah kerana PKR melanggar persefahaman Barisan Alternatif ketika itu iaitu sesebuah parti rakan tidak sama sekali dibenarkan mencuri pemimpin atau ahli parti rakan.

“Ia juga menggambarkan PKR bukanlah sebuah parti yang boleh dianggap sebagai rakan setia sehingga sanggup mencuri pemimpin parti rakan semata-mata untuk memperkuatkan kedudukan parti sendiri,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau mengulas tindakan Kamaruddin dan Muhammad Muhd Taib yang diumumkan menyertai PKR, semalam. Pengumuman tersebut dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di ibu pejabat PKR.

Menurutnya, tindakan PKR menerima mereka daripada Pas menjadi petanda PKR tidak pernah berubah dari dulu hingga kini di dalam soal kegagalan menghormati semangat setia kawan dengan rakan komponen.

Beliau berkata, keadaan kini tetap sama di mana sudah tentu wujud persefahaman tidak bertulis mengenai parti komponen Pakatan Rakyat tidak dibenarkan mencuri pemimpin atau ahli parti rakan.

“Sekali gus tindakan PKR ini membuktikan ia dalam keadaan terdesak sehingga sanggup tidak bersikap ‘gentleman’ dengan mencabuli semangat setia kawan dalam berpakat.

“Negatif kepada PKR kerana ia menggambarkan PKR berada dalam keadaan terumbang-ambing sehingga memerlukan kemasukan seorang bekas tokoh Pas untuk memperkukuhkan kedudukannya,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, kemasukan Kamarudin ke dalam PKR dibuat khusus untuk imbangi pengaruh tokoh tertentu dalam PKR, terutamanya Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali yang tetap mesra Pas dan tetap mahu Pas dikekalkan dalam Pakatan Rakyat 2.0, walaupun wujud masalah antara Pas dan PKR serta DAP sebelum ini.

“Diketahui  Kamarudin sangat arif mengenai gerak kerja dalaman Pas, di mana sikapnya yang kritikal terhadap pimpinan Pas sekarang sudah tentu diharapkan akan mampu menggerhanakan pandangan yang simpati dengan Pas dalam PKR.

“Ini sekali gus akan merenggangkan hubungan antara Pas dan PKR. Saya hairan bagaimana seorang yang baru sahaja bersikap sangat kritikal kepada pimpinan Pas terus sahaja diberi kepercayaan mutlak sebagai Pengarah Politik dan Dasar PKR bagi memberi input kepada Presiden dan Timbalan Presiden PKR,” katanya
.