SHAH ALAM - Tindakan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar menyertai rakan politiknya, PKR sudah dijangka dan Pas tidak terkejut dengan perkara tersebut.

Demikian kata Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan sambil menegaskan pihaknya tidak mahu terlalu memikirkan tindakan tersebut kerana Pas perlu mempunyai agenda yang lebih besar.

"Dari awal lagi pun mereka tidak memberikan kesetiaan dan kebersamaan. Jadi kami tidak memikirkan soal itu, tak apa, ke mana mereka nak pergi, itu hak mereka.

"Kita tak pernah mempersoalkan ke mana hala tuju individu kerana kita mempunyai satu agenda besar," katanya kepada Sinar Online selepas Kongres Rakyat, di sini, pada Sabtu.

Beliau mengulas tindakan Kamaruddin dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Mohd Taib yang mengumumkan keluar dari Pas dan menyertai PKR, pada Jumaat.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‎MP Tumpat, bekas MB S'gor sertai PKR]

Perkara itu diumumkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, pada hari sama.

Sementara Muhammad Taib pula akan berperanan dalam Biro Penerangan dan Komunikasi khususnya demi mengangkat martabat masyarakat luar bandar termasuk komuniti Felda.

Dalam pada itu, Nasrudin juga berkata, Pas lebih memilih untuk bersama rakyat sebagai persiapan awal bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

"Pas banyak membuat persiapan ke arah itu, kebetulan selepas muktamar, kita mempunyai tenaga pelapis baharu, kepimpinan yang baharu, yang mengambil alih parti.

"Mereka ini akan lebih fokus kepada pembinaan imej mereka, penampilan mereka dan juga beberapa tindakan," ujarnya
.