HUTAN MELINTANG - Tujuh lagi mayat mangsa bot karam di perairan Sabak Bernam ditemui petang ini, menjadikan jumlah terkini mereka yang terkorban dalam tragedi itu sebanyak 24 orang yang kesemuanya dipercayai warga Indonesia.


Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Klang, Mohd Aliyas Hamdan berkata, mayat enam wanita dan seorang lelaki itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat, kira-kira dua jam selepas penemuan tiga mayat tengah hari tadi.


Beliau berkata, kesemua mayat tiba di Jeti Hutan Melintang kira-kira 5.15 petang.


"Kesemua mayat ditemui di sekitar kawasan operasi mencari dan menyelamat. Kesemua mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.


Mohd Aliyas berkata, pihaknya memperluaskan kawasan operasi mencari dan menyelamat kepada 550 kilometer persegi, melibatkan sebanyak tujuh kapal termasuk tiga buah milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).


"Bot-bot kecil daripada agensi penguatkuasa yang terlibat antaranya Jabatan Pertahanan Awam Malaysia serta bomba membantu kita untuk mencari dan menyelamat mangsa di kawasan pesisir pantai," katanya.


Setakat ini, mayat 19 wanita dan lima lelaki ditemui manakala 20 lagi termasuk seorang wanita terselamat, selepas bot yang membawa kira-kira 70 penumpang karam di perairan Selangor pada Khamis pagi.


Operasi mencari dan menyelamat mangsa akan dihentikan pada 7 malam ini, dan disambung semula pagi esok.


Bot sepanjang 40 kaki itu karam ketika dalam perjalanan dari Kuala Sungai Bernam menuju Tanjong Balai, Indonesia.


Insiden berlaku pada kedudukan sembilan batu nautika di barat daya Tanjong Sauh. - Bernama