SHAH ALAM – Kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang menggemparkan negara pada 2006 kini kembali hangat diperkatakan.

Ia susulan penyiaran sebuah dokumentari mengenai pembunuhan Altantuya oleh stesen televisyen Al Jazeera dalam program mingguannya, 101 East.

Laporan berdurasi 26 minit itu dihasilkan oleh wartawan, Mary Ann Jolley yang turut turun ke lokasi pembunuhan Altantuya di Shah Alam.

Meskipun Mahkamah Persekutuan pada Januari lalu telah mengekalkan hukuman gantung terhadap dua bekas anggota Unit Tindakan Khas polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar yang didapati bersalah membunuh Altantuya, namun penerbitan dokumentari tersebut cuba menimbulkan persoalan sama ada mereka berdua menjadi ‘kambing hitam’ atas kesalahan individu lain.

Dokumentari tersebut dimulakan dengan lakonan semula kisah latar belakang Altantuya sehinggalah wanita itu tiba di Malaysia dan dibunuh.

Ia turut memasukkan klip-klip sepanjang kes itu dibicarakan serta pengakuan penafian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  yang dikatakan mempunyai kaitan dengan suspek utama ketika itu, Razak Baginda.

Selain itu, Mary Ann turut menemu bual sendiri bapa Altantuya, Shaariibuu Setev di Hong Kong serta peguamnya, Ram Karpal Singh.

Dalam video tersebut, wartawan itu turut menceritakan pengalamannya diusir keluar dari Malaysia ketika cuba masuk ke negara ini buat kali kedua selepas pulang dari Hong Kong.

Menurut Mary Ann, dia ditahan selama lima jam di pusat kawalan pasport di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur  (KLIA) sebelum diiringi oleh lima pegawai Kastam dan seorang lelaki berpakaian tentera untuk berlepas ke Sydney, Australia.

Di Sydney, kata Mary Ann, dia tetap meneruskan siasatannya dan berjaya menemui saudara jauh Sirul yang enggan namanya didedahkan.

Menerusi temu bual itu, saudara Sirul yang dinamakan sebagai ‘Frank’ itu berkata, Sirul yang kini bersembunyi di Australia pernah tinggal bersamanya.

Frank turut menceritakan mengenai pengakuan Sirul bahawa terdapat individu ketiga dalam pembunuhan tersebut yang ‘menjadi dalang’.

Selain itu, Frank juga mendedahkan bahawa Sirul pernah meminta bantuan beberapa individu di Malaysia, termasuk seseorang yang bernama Salam, memberinya sejumlah wang supaya dia menutup mulut.

Mary Ann juga turut menjelaskan cubaannya untuk mendapatkan jawapan Razak Baginda dan Salam, namun gagal.

Dokumentari berkenaan diakhiri dengan luahan Setev dan keluarganya yang berharap keadilan untuk anaknya akan muncul juga.