DAP atur taktik sasar undi wanita
BATU PAHAT - DAP kini menjadikan golongan wanita sebagai sasaran baharu
mereka meraih undi bagi memastikan kemenangan pada PRU14.
Bagi mengukuhkan strategi itu, parti politik berkenaan juga bercadang meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam setiap jawatan kuasa negeri bawah pentadbiran mereka.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, tindakan itu dilakukan setelah melihat kekuatan wanita dalam menentukan kejayaan atau kekalahan mereka dalam pilihan raya umum.
Menurutnya, pihaknya akan melaksanakan beberapa strategi untuk memenangi hati golongan wanita dengan membantu mereka menyelesaikan masalah tertentu yang dihadapi antaranya masalah ekonomi.
“Tindakan ini adalah sebagai alternatif kami untuk menang dalam pilihan raya termasuk menawan Nusajaya dan Putrajaya.
“Wanita paling ramai mengundi. Lebih baik tarik golongan ini untuk memilih kita,” katanya pada Konvensyen Biasa Negeri DAP Johor ke-18, semalam.
Hadir sama, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.
Sementara itu, Kit Siang berkata, DAP Johor melalui Pakatan Harapan negeri berkenaan menyokong pandangan yang dikeluarkan Majlis Raja-raja yang mengetengahkan tiga usul iaitu berkaitan ekonomi, undang-undang dan perpaduan.
Beliau berkata, dalam isu melibatkan ekonomi, masalah berkaitan 1MDB perlu diselesaikan segera, begitu juga dengan kejatuhan nilai ringgit dan kenaikan harga minyak.
“Oleh itu, kami akan melakukan gerakan yang dikenali ‘Gerakan 6 Oktober’, di mana kami akan mencetak kenyataan Majlis Raja-raja untuk edaran umum dan dimuatkan di media sosial.
“Kami berbangga dengan Majlis Raja-raja yang selama ini hanya tertumpu dengan isu keagamaan dan adat resam tetapi kini mereka menyentuh aspek ekonomi serta masalah rakyat,” katanya.
Kit Siang berkata, gerakan berkenaan akan dimulakan pada masa terdekat dan ia dilakukan secara bergerak di setiap daerah.


0 orang berkata:
Post a Comment